Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN 2045: APSC Perkukuh Usaha Banteras Jenayah Rentas Sempadan

27/05/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Memperkukuh kerjasama dalam menangani dan memerangi jenayah rentas sempadan serta isu-isu baru yang muncul di rantau ASEAN merupakan antara langkah strategik yang terkandung dalam Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).

Langkah itu, yang termasuk di bawah Matlamat Strategik kelima daripada sembilan dalam Pelan Strategik APSC, antara lain bertujuan untuk memperkukuh usaha ASEAN dalam memerangi jenayah rentas sempadan, merangkumi keganasan, penyeludupan dadah haram, pemerdagangan manusia (TIP), penyeludupan migran, penyeludupan hidupan liar dan kayu balak, penyeludupan senjata, lanun laut dan rompakan bersenjata terhadap kapal, pengubahan wang haram, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) merupakan satu daripada tiga tonggak utama di bawah Visi Komuniti ASEAN 2045, yang bertujuan menjamin kestabilan dan kerjasama serantau jangka panjang, sejajar dengan pelan induk “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama”.

Pelan ini, yang dibina berasaskan kejayaan Pelan Induk APSC 2025, memperkukuh komitmen ASEAN untuk membentuk sebuah rantau yang inklusif, berdaya tahan dan berasaskan peraturan, di tengah-tengah landskap geopolitik yang semakin mencabar.

Pelan Strategik APSC akan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh ASEAN, disokong oleh peningkatan kapasiti institusi, koordinasi merentas sektor dan penglibatan awam yang lebih meluas bagi memastikan keberkesanan dan relevansi jangka panjangnya, serta sebagai sebahagian daripada usaha pengukuhan institusi dan peningkatan peranan ASEAN secara keseluruhan.

Di bawah Matlamat Strategik Pertama APSC, ASEAN berhasrat untuk memupuk rantau yang aman, stabil dan selamat, berteraskan prinsip-prinsip Piagam ASEAN, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang dipersetujui oleh negara-negara anggota ASEAN.

Ad Banner

Langkah-langkah strategik yang digariskan termasuk menggalakkan kerjasama dalam bidang perundangan dan kehakiman, memperkukuh kedaulatan undang-undang serta menambah baik rangka kerja pencegahan jenayah.

Matlamat Strategik Kedua memberi tumpuan kepada pengukuhan Peranan Pusat ASEAN (ASEAN Centrality) dengan memperkasa mekanisme yang diterajui ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN (ARF), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), di samping membina kerjasama baharu yang bermakna dengan pihak luar.

Bagi memastikan ASEAN dapat bersuara secara sepakat dalam isu serantau dan antarabangsa, Matlamat Strategik Ketiga bertujuan memperkukuh keupayaan blok itu untuk menyuarakan pendirian bersama dalam menghadapi cabaran pelbagai hala serta bertindak balas secara kolektif terhadap perkembangan global.

Matlamat Keempat menekankan peranan proaktif ASEAN dalam membentuk seni bina serantau yang berasaskan peraturan, melalui pendalaman diplomasi pencegahan, kerjasama maritim dan keselamatan siber serta langkah membina keyakinan strategik.

Matlamat Kelima menekankan keperluan memperkukuh usaha memerangi jenayah rentas sempadan seperti keganasan, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, penyeludupan migran, perdagangan haram hidupan liar dan kayu balak, penyeludupan senjata, lanun dan rompakan laut, pengubahan wang haram, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber dan penipuan dalam talian. Usaha ini termasuk kerjasama dengan rakan luar ASEAN serta pelaksanaan program kerja seperti pertukaran maklumat, latihan bersama dan perkongsian pengalaman.

Matlamat Keenam menyokong matlamat mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ) menerusi pelaksanaan berterusan Perjanjian SEANWFZ dan kerjasama meluas dalam pelucutan senjata dan tenaga nuklear untuk tujuan aman.

Dalam hal ehwal maritim, Matlamat Ketujuh menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, khususnya di Laut China Selatan.

“ASEAN akan terus menggesa penyelesaian secara aman berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS) sambil berusaha mempercepatkan pemuktamadan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dengan China,” menurut kenyataan itu.

Matlamat Kelapan pula memfokuskan kepada pelaksanaan Outlook ASEAN terhadap Indo-Pasifik (AOIP), dengan penekanan kepada kerjasama konkrit dalam bidang keselamatan maritim, pembangunan lestari dan ketersambungan serantau.

Matlamat Kesembilan membayangkan sebuah komuniti yang inklusif dan bersatu padu yang menghormati kepelbagaian politik, sosial, agama, budaya dan etnik, menjunjung prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, serta menghormati hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Ia turut meliputi usaha memperkukuh tadbir urus, membanteras rasuah dan mempertingkat kefahaman antara agama.

Pelaksanaan pelan ini akan disokong oleh penyelarasan jelas antara agenda serantau dan nasional, kerjasama efektif antara entiti ASEAN serta mekanisme pemantauan berkala termasuk Kajian Separuh Penggal pada 2030 dan Kajian Akhir Penggal pada 2035 bagi memastikan hala tuju strategik kekal relevan dengan perubahan serantau dan global.

Pelan Strategik APSC ini merupakan komponen teras kepada “ASEAN 2045: Masa Depan Bersama”, iaitu visi jangka panjang rantau ini ke arah pembentukan ASEAN yang dinamik, inovatif dan berorientasikan rakyat menjelang ulang tahun ke-100 penubuhannya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan