KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia, Indonesia dan Thailand hari ini mengulangi komitmen bersama untuk memperkukuh rangkaian perdagangan dan pengeluaran subrantau secara bersepadu dengan memudah cara perdagangan dan peningkatan pelaburan dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Satu daripada komitmen utama ialah pemeteraian Kerangka Kerjasama (FoC) dalam Prosedur Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), yang menandakan langkah penting ke arah memudahkan pergerakan rentas sempadan barangan dan individu dalam subrantau ini.
“Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuh rangkaian perdagangan dan pengeluaran subrantau secara bersepadu dengan mempertingkatkan pemudah cara perdagangan dan mempromosikan pelaburan.
Kami mengalu-alukan pemeteraian FoC dalam CIQ dan menantikan pelaksanaannya bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan barangan dan individu dalam subrantau,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 yang berlangsung di sini hari ini.
Sidang Kemuncak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara Kumpulan Kerja IMT-GT bagi Memudah Cara Perdagangan dan Pelaburan (WGTI), pemain sektor swasta dan kerajaan tempatan.
Terdahulu, kerangka berkenaan telah ditandatangani oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, Menteri Ekonomi Malaysia Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan Thailand Julapun Amornvivat di lokasi yang sama hari ini.
Menurut kenyataan itu, pertumbuhan ketara perdagangan subrantau yang meningkat daripada US$367.9 bilion pada 2019 kepada US$659.7 bilion pada 2023 membuktikan aktiviti ekonomi yang kukuh dan dinamik dalam subrantau itu.
“Begitu juga dengan jumlah pelaburan yang mencatat peningkatan ketara, daripada US$25.1 bilion kepada US$48.1 bilion dalam tempoh sama, melepasi paras sebelum pandemik.
“Kemajuan ini mencerminkan daya tahan ekonomi subrantau dan mengesahkan komitmen teguh kami untuk memacu pemulihan ekonomi melalui kerjasama,” menurut kenyataan itu.
Sidang Kemuncak yang diadakan lebih awal hari ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) Masato Kanda dan Menteri Ekonomi Malaysia Datuk Seri Rafizi Ramli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial