Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Kekalkan Penglibatan ASEAN Dengan Negara Kuasa Besar

27/05/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata ASEAN kekal komited untuk mengekalkan penglibatan yang seimbang dan konstruktif dengan semua kuasa besar, di tengah-tengah persepsi mengenai hubungan blok serantau itu yang semakin erat dengan China.

Beliau menyatakan bahawa blok serantau itu kekal komited untuk penglibatan seimbang dengan semua kuasa besar berdasarkan prinsip pemusatannya.

"Selama ini ada persepsi ini. Itu sebabnya saya menyatakan dengan jelas dalam kenyataan asal saya kepada pemimpin ASEAN, bahawa susulan saranan Menteri-menteri Luar semasa mesyuarat pertama mereka pada Januari di Langkawi, ASEAN akan terus terlibat dengan Amerika Syarikat dan China, serta negara-negara lain," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media di penghujung Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, sebagai menjawab soalan sama ada kerjasama ASEAN yang semakin meluas dengan China memungkinkan kecenderungan strategik.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”

Sidang kemuncak yang diadakan di KLCC sejak dua hari lepas itu menyaksikan penyertaan pemimpin dan wakil ASEAN daripada rakan dialog utama, termasuk dua mesyuarat peringkat tinggi yakni Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang menampilkan platform penting bagi memperluaskan kerjasama serantau dan antara wilayah.

Ad Banner

Anwar berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China baru-baru ini tidak seharusnya dilihat sebagai bukti sokongan yang condong kearah Beijing.

Perdana Menteri berkata beliau telah menulis secara rasmi kepada Presiden Amerika Donald Trump bagi menyatakan persetujuan ASEAN untuk meneruskan Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-ASEAN, seperti yang dicadangkan oleh Menteri-menteri Luar blok itu. 

"Saya tidak fikir ia condong dalam apa cara sekalipun. Jika esok saya menerima surat daripada Presiden Trump berkata ‘ya’, kita akan mengadakan sidang kemuncak (tetapi) bukan pada bulan Jun, itu terlalu pantas, tetapi dalam beberapa bulan akan datang, kita tidak ada masalah," katanya.

Anwar turut mengulangi bahawa kedudukan ASEAN kekal berakar umbi dalam agenda berpusat dan berfokuskan rakyat, yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya melalui hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Jadi jika ia bermakna bekerja dengan China, ya, kita akan melakukannya. Dengan Amerika Syarikat, ya, kita perlu," katanya sambil menyatakan bahawa Malaysia khususnya telah muncul sebagai hab untuk semikonduktor, dengan lebih 60 peratus eksport berkaitan dibawa ke Amerika Syarikat.

"Adalah masuk akal untuk terus terlibat dan mempunyai hubungan yang cukup baik (dengan mana-mana negara)," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan