Oleh Muhammad Saufee Rosman & Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Komuniti perniagaan, pemimpin korporat dan ketua industri di ASEAN, Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China perlu merebut momentum yang dicipta daripada kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada perasmian Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China di sini, malam ini, Anwar berkata pemimpin politik daripada trio itu telah memainkan peranan mereka dengan memastikan dasar yang jelas dan kestabilan serantau dan kini terpulang kepada sektor swasta untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang itu.
"Kami telah memberi sokongan dengan dasar yang jelas. Sekarang, anda perlu memastikan bahawa kita mendapat manfaat daripada kepimpinan politik yang kukuh dan dasar ekonomi yang jelas ini.
"Jadi, saya menantikan Sidang Kemuncak Ekonomi Fortune ASEAN-GCC-China ini. Kerana kita mahu melihat hasilnya dan anda perlu bertindak sekarang dan memastikan negara kita mendapat manfaat antara satu sama lain.
"Begitu banyak sinergi, begitu banyak kerjasama yang diperlukan dan harapan yang besar untuk memenuhi aspirasi negara kita," kata Anwar.
Turut hadir merasmikan majlis pembukaan itu ialah Perdana Menteri China Li Qiang
Antara lain yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luarr Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Selain itu majlis tersebut turut dihadiri antara lainnya Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Emiriah Arab Bersatu Dr Thani Bin Ahmed Al Zeyoudi; Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid bin Abdulaziz Al-Falih; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Menteri Perdagangan dan Industri Timor Leste, Filipus Nino Pereira.
Sementara itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan hasil Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sebagai "bukti" kepada kepusatan Malaysia dan ASEAN, penglibatan yang berkesan dan komitmen tinggi terhadap asas ekonomi.
Beliau berkata pemimpin ASEAN telah menunjukkan visi dan keazaman dalam menangani dan menyelesaikan walaupun isu paling sensitif semasa sidang kemuncak itu, membuktikan perpaduan, kebebasan dalam ASEAN.
Perdana Menteri juga mengetengahkan perkongsian ASEAN yang semakin meningkat dengan GCC, yang disifatkannya sebagai "dinamo" Timur Tengah berikutan daya tahan, kelebihan tenaga, dan kepimpinannya dalam pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada anggota GCC yang memutuskan untuk menyertai usaha ini dan bekerjasama sebagai satu pasukan baharu yang hebat.
"Tambahan hakikat bahawa China membuktikan keupayaannya untuk melaksanakan perubahan dalam ekonomi, dalam teknologi, dalam usaha mereka untuk mempamerkan kepada dunia bahawa kita bersatu dan kita menumpukan pada perkara yang penting kepada kemanusian secara amnya. Iaitu keadilan kepada semua," katanya.
Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China 2025 diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan. Bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", mesyuarat itu menandakan kali kelima Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial