Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin ASEAN Suarakan Kebimbangan Mengenai Tarif AS, Komited Kepada Perpaduan Ekonomi Serantau

28/05/2025 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN telah menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mengenakan tarif yang menyeluruh pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

 Menurut Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan selepas berakhirnya sidang kemuncak pada Selasa, para pemimpin menegaskan bahawa mereka akan terus mengadakan dialog yang terbuka dan membina dengan AS berhubung perkara tersebut serta komited untuk tidak mengambil sebarang tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan oleh AS.

“Kami menyatakan kebimbangan terhadap pengumuman baru-baru ini oleh AS untuk mengenakan tarif unilateral dan potensi impaknya terhadap ekonomi kita.

“Ketidaktentuan yang wujud daripada tarif ini dan potensi tindakan balas boleh meningkatkan situasi tidak menentu dalam aliran modal dan kadar pertukaran,” menurut kenyataan itu.

Katanya pemimpin ASEAN mengekalkan komitmen blok itu ke arah perpaduan serantau, kestabilan ekonomi dan kerjasama yang praktikal dalam mendepani cabaran luar.

Mereka turut mengekalkan komitmen untuk mengukuhkan daya tahan kewangan dan memacu integrasi kewangan dalam ASEAN, sekali gus menyokong integrasi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih besar dalam ketegangan perdagangan global yang meningkat.

Ad Banner

“Kami kekal komited kepada ASEAN sebagai rakan ekonomi yang dipercayai dan akan berusaha untuk menggalakkan rangka kerja kerjasama ekonomi yang diperkukuh dengan AS, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan berorientasikan masa depan,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga berjanji untuk mengukuhkan dan memperluas hubungan ekonomi dengan rakan kongsi luar ASEAN, termasuk dengan Rakan Dialog untuk mencari peluang kerjasama dengan rakan baharu.

Sidang Kemuncak ASEAN, yang menghimpunkan pemimpin dan delegasi peringkat tinggi dari negara-negara ASEAN dan rakan kerjasama, telah diadakan di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025,  ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia sebagai pengerusi ASEAN selepas kepengerusiannya sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan