KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin ASEAN telah menyuarakan kebimbangan mengenai konflik yang semakin meruncing serta situasi kemanusiaan di Myanmar, dan menggesa semua pihak supaya menghentikan keganasan, di samping komited semula kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rangka kerja utama untuk menyelesaikan krisis di negara itu.
Dalam Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan di hujung Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, para pemimpin itu menegaskan bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama kumpulan serantau dalam membimbing usaha ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar, yang telah dilanda konflik sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 2021.
“Kami mengesahkan pendirian bersatu bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama kami untuk menangani krisis politik di Myanmar,” menurut kenyataan itu, yang turut menggariskan konsensus blok berkenaan bagi menjunjung keputusan sebelum ini yang dibuat oleh Ketua-ketua Negara dan kerajaan ASEAN.
Para pemimpin itu juga mengulangi keputusan mereka untuk menyekat perwakilan Myanmar di Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ke peringkat bukan politik sahaja, sambil menegaskan bahawa usaha membina komuniti dan proses membuat keputusan ASEAN mesti diteruskan, dan tidak terjejas.
Sidang kemuncak itu mengalu-alukan pertukaran idea semasa rundingan tidak rasmi baru-baru ini, yang bertujuan menggiatkan semula pelaksanaan 5PC dan mencari jalan praktikal untuk bergerak ke hadapan semasa tidak banyak kemajuan dicapai.
ASEAN yang mengecam keganasan berterusan dilakukan terhadap orang awam dan kemusnahan kemudahan awam di Myanmar, menyeru semua pihak untuk berhenti melakukannya, dan memastikan perlindungan buat orang awam dan infrastruktur penting.
"Kami menggesa semua pihak yang terlibat untuk mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan keganasan sewenang-wenangnya dengan segera," kata para pemimpin itu, sambil turut menyeru diwujudkan persekitaran yang membolehkan akses kemanusiaan dan dialog nasional yang inklusif.
Dalam langkah yang cukup penting, perkumpulan serantau itu mengeluarkan Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN Mengenai Gencatan Senjata yang Dilanjutkan dan Diperluaskan, yang bertujuan mengurangkan permusuhan dan mewujudkan ruang untuk rundingan damai.
Pemimpin ASEAN juga mengalu-alukan usaha bantuan kemanusiaan yang berterusan oleh Pusat Penyelaras ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA), selaras dengan Perkara 4 5PC, yang menggesa penyediaan bantuan kemanusiaan.
Menyedari keperluan yang sangat besar di lapangan, para pemimpin merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan sokongan kewangan, terutamanya untuk membantu orang yang kehilangan tempat tinggal (IDP) dan melindungi kesejahteraan mereka.
Para pemimpin turut memuji usaha Duta Khas Pengerusi ASEAN di Myanmar Tan Sri Othman Hashim, atas penglibatan proaktifnya dengan spektrum luas pemegang taruh Myanmar, sejak memegang jawatan itu pada Januari 2025.
Menurut kenyataan sidang kemuncak tersebut, Duta Khas itu telah berunding bukan sahaja dengan negara anggota ASEAN tetapi juga rakan dialog, negara jiran, pertubuhan masyarakat sivil, pihak terlibat dalam aspek kemanusiaan, badan pemikir, dan pihak berkepentingan lain yang berkaitan.
Pendekatan inklusif ini, menurutnya menunjukkan keazaman blok itu untuk mencari penyelesaian yang mampan dan aman kepada krisis Myanmar melalui kerjasama dan diplomasi.
Para pemimpin juga mengakui nilai perundingan tidak rasmi baru-baru ini yang melibatkan Pengerusi ASEAN semasa, masa lalu dan akan datang, serta negara anggota tambahan yang berminat untuk melaksaakan 5PC.
Penglibatan sedemikian, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, mencerminkan pendirian bersatu ASEAN dan kekuatan politik kolektif untuk mengejar hasil yang bermakna bagi peralihan politik Myanmar yang telah lama bermasalah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial