KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China mengutuk serangan terhadap orang awam di Gaza, dan menyeru semua pihak terlibat menghentikan serangan yang menyasarkan mereka.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sulung yang diadakan di sini pada Selasa, para pemimpin itu juga sepakat menyeru supaya diadakan gencatan senjata yang berkekalan.
Mereka turut menggesa akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan, keperluan asas dan pemulihan perkhidmatan penting di Gaza, di samping membenarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di kawasan itu.
“Para pemimpin itu telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan tersebut dan bersetuju untuk menyokong usaha berterusan bagi membebaskan semua tebusan, dan mereka yang ditahan sewenang-wenangnya,” menurut kenyataan itu.
Mereka menggesa semua pihak yang terlibat untuk berusaha ke arah penyelesaian aman konflik dengan tujuan merealisasikan penyelesaian dua negara berdasarkan penetapan sempadan sebelum 1967.
Para pemimpin itu bersetuju untuk menyokong usaha pakatan global bagi pelaksanaan penyelesaian dua negara, dengan mengambil kira inisiatif Arab Saudi untuk bekerjasama dengan Norway dan Kesatuan Eropah ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Mereka juga mengiktiraf usaha pengantaraan Qatar untuk gencatan senjata serta memudahkan penyampaian bantuan, dan juga usaha China ke arah perdamaian dalaman Palestin.
“... terutama peranannya dalam memudahkan pemeteraian Deklarasi Beijing mengenai Pengakhiran Perpecahan dan Memperkukuh Perpaduan Nasional Palestin oleh puak-puak Palestin pada Julai 2024, di Beijing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial