Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Glamor Wartawan Hiburan: Antara Etika, Realiti Dan Persepsi

28/05/2025 12:05 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Di sebalik gemerlap lampu pentas, hamparan karpet merah dan kesempatan bersama dengan selebriti ternama, kerjaya sebagai wartawan hiburan sering dilabel glamor dan mewah. 

Hakikatnya, di sebalik citraan yang mempesona itu tersembunyi sebuah perjuangan untuk terus mempertahankan prinsip dan berpegang teguh pada etika kewartawanan demi menyampaikan kebenaran kepada khalayak.

Bagi bekas Editor Hiburan Kosmo! Maliah Surip, 44, keakraban wartawan dengan selebriti bukan tiket untuk bersantai dalam dunia penuh tarikan, sebaliknya satu tanggungjawab berat yang menuntut ketangkasan, kecekalan dan daya tahan tinggi.

“Saya boleh katakan itu (glamor) hanya persepsi kerana realitinya, wartawan hiburan ialah watak sampingan dalam pekerjaan selebriti yang sememangnya dikelilingi dunia glamor.

“Hakikatnya tidak seindah yang dilihat. Kami perlu tangkas mencari ‘scoop’, bekerja lebih masa terutama apabila acara berakhir lewat malam dan berhadapan dengan selebriti yang kurang mesra. Itu antara risiko yang sering disalah anggap sebagai glamor,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner

Beliau yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang kewartawanan berkata penting untuk wartawan menjaga sempadan hubungan dengan selebriti agar tidak menjejaskan objektif laporan, termasuklah berat sebelah seterusnya mengekalkan profesionalisme.

“Jangan malu jadi wartawan hiburan. Kita ini pencerita dunia seni, bukan penyampai gosip. Kita dokumentasikan budaya pop dan bawa cerita ke arus perdana. Pena kita juga mempertahankan nilai dan warisan,” katanya yang kini bertugas sebagai wartawan kontrak di Astro Gempak.

Bagi wartawan hiburan Harian Metro Mohamad Ridzuan Abdul Rahman, 51, pula wartawan yang menonjol dan berimej profesional menjadikan mereka lebih mudah didekati terutama oleh selebriti berprofil tinggi.

“Kalau kita tidak dikenali, sukar untuk artis memberi kepercayaan atau berkongsi cerita. Tapi bila mereka nampak kita menjaga penampilan dan dikenali dalam industri, mereka lebih terbuka untuk bekerjasama. Kalau kita tidak tampil meyakinkan, selebriti yang menjaga prestij tentu lebih cenderung memilih wartawan lain. Jadi elemen glamor boleh jadi nilai tambah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata di sebalik segala kemilau itu, tugas harian wartawan hiburan tidak pernah mudah, mereka tetap perlu bekerja keras dalam mencari berita yang seimbang dan bukan sekadar sensasi, tetapi juga bermakna.

Turut berkongsi pandangan, Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian Meen Tahrin yang berkata meskipun dunia kewartawanan hiburan dikelilingi warna-warni selebriti, pegangan terhadap etika tetap menjadi kompas utama dalam menjalankan tugas.

“Kalau tanya saya, semuanya kembali kepada etika kewartawanan. Kalau tak pasti, Google sahaja, jawapannya ada di situ, tepat dan sempurna,” kata bekas Editor Media Hiburan itu. 

Sempena sambutan Hari Wartawan Malaysia (HAWANA) 2025, Maliah, Mohamad Ridzuan dan Meen senada bahawa tidak kira bertugas sebagai wartawan bidang apa pun, etika, amanah dan kredibitliti tidak boleh digadai, sebaliknya terus menjadi pegangan.

Majlis Kemuncak Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei ini dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun, serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan