Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perkenal Undang-undang Baharu Untuk AI Beroperasi Secara Bebas - PM Anwar

28/05/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Satu undang-undang baharu perlu diperkenalkan bagi membolehkan kecerdasan buatan (AI) beroperasi secara bebas tanpa tertakluk kepada undang-undang negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun undang-undang melindungi aspek kedaulatan sesebuah negara, penggubalan undang-undang baharu itu diperlukan bagi tujuan transformasi teknologi baharu.

“Jika kita mahu menggunapakai AI, maka kita tidak boleh memikirkan kedaulatan dalam bentuk pemikiran lama,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian pada sesi Forum Ekonomi ASEAN-GCC 2025 bertemakan “The Intelligent Grid: Building Bridges Through Sovereign AI Collaboration” anjuran Fortune di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun beberapa negara-negara ASEAN dan GCC baru memulakan libat urus dengan Malaysia, sudah wujud asas kukuh dari segi kesepakatan bersama membabitkan isu-isu penting.

“Ini termasuk tadbir urus, hubungan antarabangsa dan penerimaan teknologi baharu seperti transformasi digital dan tenaga alternatif.

Ad Banner

“Apabila anda mempunyai pemimpin yang berfikiran sama, menggalakkan teknologi baharu dan perubahan, sebarang pencapaian ini tidak dapat dijayakan jika kita tiada asas kepercayaan antara satu sama lain,” kata beliau.

Pendirian sedemikian penting dalam menggalakkan kerjasama sempadan yang menyaksikan penglibatan ASEAN dan GCC dapat meyakinkan China untuk turut serta dalam perkara tertentu.

Asas sedemikian juga, kata Anwar, disokong oleh hakikat ASEAN yang secara relatifnya merupakan antara rantau paling aman di dunia selain statusnya sebagai ekonomi paling pesat berkembang manakala GCC pula terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam bidang tenaga boleh baharu, transformasi digital dan AI.

“Tiada gunanya semua ini seperti menganjurkan persidangan antarabangsa jika kita tidak dapat meyakinkan pasukan untuk mengemukakan perjanjian yang amat bermakna.

“Oleh itu, izinkan saya berkongsi rasa puas hati terhadap hasil kerjasama yang membuktikan kejayaan mampu dicapai dengan berlandaskan kerjasama antara kerajaan, industri serta komuniti perniagaan,” kata beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan dalam senario landskap global yang berubah, kebimbangan yang ada asasnya tidak boleh diketepikan kerana turut menyentuh aspek nilai, kepercayaan, keperibadian, pemahaman sejarah dan identiti kebangsaan.

Beliau juga menyifatkan sistem politik global semasa sebagai mengalami “defisit nilai” dan menggesa agar sebarang teknologi baharu tidak diterima secara melulu tanpa mengutamakan asas etikanya.

“Dalam soal AI misalnya, kita tidak boleh mengelaknya tetapi pada masa sama perlu memastikannya tidak melenyapkan maruah kemanusiaan dan keadilan,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pendidikan dan pemikiran kritikal sebagai teras dalam usaha memperkasa pelbagai perspektif.

Merujuk sejarah perjuangan ketika Revolusi Perindustrian, beliau mengingatkan mengenai kesan bahaya mengulangi kesilapan lampau yang hanya menjejaskan nilai kemanusiaan.

“Kita perlu menyokong teknologi baharu dan AI sambil bertindak menangani kesilapan asas yang boleh memburukkan keadaan,” kata beliau.

Anwar mengakhiri perkongsian beliau dengan menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai bukti jelas kegagalan kecanggihan teknologi dalam mempertahankan nilai dan maruah kemanusiaan.

“Di sebalik semua teknologi baharu dan AI, kita masih gagal merungkai persoalan asas : Apakah erti sebenar menjadi seorang manusia,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan