KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Negara anggota ASEAN mengisytiharkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau bagi meningkatkan keselamatan bekalan ubat-ubatan menerusi inisiatif ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR) dan Rangka Kerja Kerjasama Serantau bagi ADSSR.
Dalam deklarasi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Isnin, negara anggota juga komited untuk menguatkan keselanjaran kitaran hidup ubat-ubatan daripada pengeluaran, pendaftaran, pemerolehan dan pengedaran.
Hal ini untuk memastikan rantaian bekalan tidak terganggu dan ketersediaan ubat-ubatan yang selamat, berkesan dan terjamin kualitinya sepanjang masa.
“Perkara ini mungkin boleh dicapai melalui platform komunikasi dan perkongsian data yang dipertingkatkan berkaitan keutamaan ini untuk memastikan kejayaan kerjasama merentasi semua domain,” menurut deklarasi itu yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak berkenaan dan sidang kemuncak berkaitan yang berakhir semalam.
Deklarasi itu turut menekankan penjajaran laluan pengawalseliaan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan kerjasama dalam pemerolehan dan bekalan produk farmaseutikal, terutamanya semasa kecemasan kesihatan awam.
Menurut deklarasi berkenaan, langkah itu akan memastikan bekalan produk farmaseutikal tidak terganggu dan tepat pada masanya dalam kalangan negara anggota, sambil menambah peraturan dan undang-undang seharusnya diwujudkan untuk membenarkan penggunaan produk belum berdaftar semasa kecemasan kesihatan awam di beberapa negara.
Negara ASEAN turut berikrar untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan ubat baharu yang menyasarkan penyakit khusus di rantau ini, serta kerjasama dalam pengilangan ubat-ubatan penting yang memenuhi piawaian kualiti dalam kalangan negara anggota.
Negara anggota mengesahkan potensi kerjasama dalam pembangunan sistem pemerolehan ubat serantau secara berkelompok, mengambil kira kemungkinan kekangan serantau.
“Hal ini penting untuk meningkatkan kuasa rundingan dan memaksimumkan penjimatan kos di seluruh negara ASEAN, khususnya dengan bantuan platform perkongsian maklumat sedia ada seperti Price Information Exchange for Medicines (PIEMEDS).
“Persefahaman bersama perlu diperkukuh dalam kalangan negara anggota dan antara sektor swasta dengan kerajaan di setiap negara anggota,” menurut deklarasi berkenaan.
Deklarasi itu menyatakan bahawa menteri kesihatan ASEAN ditugaskan untuk bekerjasama dengan menteri lain, badan sektoral berkaitan dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan deklarasi ini, menggerakkan sumber, dan memantau serta melaporkan kemajuan berdasarkan instrumen sesuai berdasarkan undang-undang dan dasar negara masing-masing.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menghimpunkan pemimpin dan delegasi peringkat tinggi dari ASEAN dan rakan negara, berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial