Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Bakal Muncul Sebagai Destinasi Utama Pelancongan Perubatan

28/05/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia mempunyai prospek yang cerah dalam pelancongan perubatan, dipacu oleh doktor terlatih, kemudahan yang cemerlang dan mata wang yang kompetitif, kata IHH Healthcare Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Prem Kumar Nair berkata hospital-hospital di Malaysia telah menerima pesakit dari pelbagai negara seperti United Kingdom, Turkiye dan Australia untuk menjalani pembedahan disebabkan oleh harganya yang lebih murah dan ketiadaan pakar perubatan di negara asal mereka.

Mengambil peluang daripada situasi itu, beliau berkata Hospital Island di Pulau Pinang yang baru diambil alih akan dijadikan sebagai tempat pembelajaran untuk mempertingkatkan pertumbuhan dalam pelancongan perubatan.

“Buat masa ini, pelancongan perubatan kami telah meningkat daripada lima peratus kepada tujuh peratus.

“Sebaik sahaja kami mengintegrasikan sepenuhnya Hospital Island, keseluruhan hasil kami di Malaysia daripada pelancongan perubatan akan meningkat kepada 14 peratus,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan IHH ke-15 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Prem berkata syarikat akan mengkaji pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kerana ia sukar untuk dikuatkuasakan di hospital swasta buat masa ini.

Ad Banner

Beliau berkata sistem DRG pada asalnya dicipta untuk membiayai sistem penjagaan kesihatan awam dan ia sangat meluas digunakan dalam Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHS) di UK dan Eropah serta Insurans Kesihatan Nasional (NHI) di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

“Menurut sistem ini, hospital awam atau swasta akan dibayar oleh satu pembayar sahaja dan bagi memudahkan pemprosesan, setiap prosedur mempunyai kod tersendiri seperti apendektomi, kolesistektomi, pembedahan jantung terbuka dan dibayar pada kadar tetap,” katanya.

Prem berkata terdapat banyak perbincangan mengenai pelaksanaan DRG, yang mana Kementerian Kesihatan (KKM) telah berunding dengan IHH, syarikat-syarikat insurans dan kumpulan pengguna dan dapat disimpulkan bahawa sistem ini sangat sukar untuk dilaksanakan di hospital swasta.

“Terdapat sistem perintis yang sedang dijalankan di beberapa hospital KKM sekarang dan saya rasa adalah wajar untuk melaksanakannya (sistem DRG) dalam sektor awam.

“Terdapat penyeragaman tertentu dari segi bilik, kemudahan, keselesaan dan sebagainya... KKM secara jelas telah menyatakan bahawa kami tidak akan melaksanakannya, tetapi ia (pelaksanaan DRG) jelas telah ditangguhkan buat masa ini,” katanya.

IHH telah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh pada tahun kewangan 2024, dengan pertumbuhan dua digit dalam metrik-metrik utama, disokong oleh prestasi operasi yang mantap di pasaran-pasaran utama.

Menurut kenyataan, kumpulan itu terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dan pulangan yang sihat untuk para pemegang saham ketika melaksanakan lima keutamaan pertumbuhan strategik mereka.

Sehubungan itu, IHH mengumumkan dividen tunai akhir sebanyak 5.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen biasa untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 10 sen sesaham, meningkat daripada sembilan sen sesaham bagi tahun kewangan 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan