KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Pembinaan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), projek infrastruktur penting yang bertujuan menghubungkan kawasan pedalaman di utara Sarawak dengan Sabah berjalan lancar setakat April tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata kemajuan projek SSLR Fasa 1 mencapai 52.27 peratus dan berada pada landasan untuk siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2026.
“Bagi SSLR Fasa 2, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan untuk semua pakej, melibatkan pembersihan tapak, kerja tanah, dan sistem saliran.
“Setakat April 2025, kemajuan fizikal keseluruhan adalah sebanyak 0.93 peratus dan dijangka siap pada suku ketiga 2029,” katanya semasa penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Projek SSLR yang bertujuan menyediakan rangkaian jalan raya menghubungkan Limbang, Miri, Lawas, dan Sabah tanpa melalui Brunei, diluluskan secara berfasa oleh kerajaan Persekutuan pada 2021.
Mengenai perkembangan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), Uggah berkata projek itu juga menunjukkan kemajuan, dengan seksyen Miri kini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun ini.
“Sementara itu, cadangan perolehan bagi seksyen Limbang dan Lawas telah dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan oleh Lembaga Perolehan (LP).
“Pemberian tender untuk seksyen Miri dijangka pada suku ketiga tahun 2025, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka dianugerahkan pada suku pertama 2026,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial