GEORGE TOWN, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menambah bilangan renjer komuniti sehingga 3,000 orang tahun ini bagi mengekang ancaman kegiatan haram melibatkan hidupan liar dan hutan menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).
Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo berkata pelantikan renjer yang sebahagian besar terdiri daripada masyarakat Orang Asli dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Tahun ini menerusi peruntukan RM80 juta yang NRES dapat, kita rancang untuk melantik sehingga 3,000 orang renjer komuniti kerana kesannya agak positif iaitu daripada laporan jumlah kegiatan haram terutama pemburu haram memang berkurangan.
“BP3 itu membantu kita dalam hutan bagi memastikan kejadian seperti membanteras kegiatan pencerobohan, pembalakan dan pemburuan hidupan liar secara haram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kelestarian Alam 2.0 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Program anjuran NRES dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu dihadiri lebih 250 peserta serta Naib Canselor USM Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Sementara itu, Ching menggesa penduduk yang terjejas harta benda dan tanaman akibat gangguan hidupan liar agar memohon inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT).
Beliau berkata pihaknya menyediakan RM10 juta pada tahun lepas bagi inisiatif itu, namun hanya 10 peratus disalurkan kepada mangsa BKHT berikutan permohonan agak kurang.
“BKHT yang kita mulakan tahun lepas bertujuan untuk membantu mangsa yang mengalami banyak kerugian akibat gangguan hidupan liar termasuk gajah dan kita teruskan tahun ini dengan tambahan RM1.5 juta lagi,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk menaikkan kadar bayaran BKHT iaitu 50 peratus daripada jumlah kerosakan yang dihadapi kepada 60 peratus bagi membantu menampung kerugian dihadapi mangsa.
“Berdasarkan rekod kita, permohonan BKHT melibatkan haiwan gajah paling banyak iaitu di negeri Johor, Kelantan dan Pahang dan ada juga kerosakan yang dilakukan oleh monyet tetapi tidak banyak sangat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial