Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Buku Diplomasia Bantu Fahamkan Anak Muda Tentang Isu Semasa - Azmi Hassan

29/05/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Usaha menyemai minat golongan muda terhadap isu diplomasi dan dasar luar negara menerima suntikan segar apabila pakar geostrategi Malaysia Profesor Dr Azmi Hassan tampil dengan buku pertama tulisannya bertajuk Diplomasia.

Disampaikan dalam gaya penulisan mudah disertai ilustrasi, buku itu direka khusus untuk menarik perhatian generasi baharu yang selama ini menganggap topik geopolitik sebagai terlalu teknikal dan membosankan.  

Ditemui selepas pelancaran buku itu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini, Azmi berkata pendekatan tersebut dipilih agar golongan muda dapat memahami isu semasa dengan lebih mudah.

“Buku ini saya tulis dengan bahasa yang mudah difahami, isu-isu seperti ketegangan di Laut China Selatan atau Sidang Kemuncak ASEAN 2025 diceritakan secara naratif beserta gambar berwarna untuk menarik perhatian pembaca.

“Buku ini mungkin semarakkan lagi anak muda dengan semangat patriotik dan nasionalisme kerana dalam buku ini ada penjelasan tentang nama lama negara seperti Malaya dan Persekutuan Tanah Melayu yang kini semakin asing kepada golongan generasi baharu,” katanya.

Azmi, yang berpengalaman lebih sedekad dalam analisis geostrategik, adalah antara figura terkenal di pelbagai platform media apabila sering memberi analisis dan pandangan akademik tentang perihal geopolitik tempatan mahupun antarabangsa.

Ad Banner

Menurut penerbit buku berkenaan iaitu PTS Publishing House, Diplomasia adalah kompilasi isu semasa yang mengupas kekuatan halus Malaysia di pentas dunia termasuk sebalik tabir landskap politik masa kini.

“Buku itu bertujuan membuka mata pembaca mengenai kebijaksanaan berunding dan keberanian berprinsip yang ditonjolkan Malaysia meskipun berdepan kuasa-kuasa besar yang bertembung sesama sendiri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Antara kandungan  Diplomasia ialah isu tuntutan Sabah, ketegangan di Laut China Selatan, hubungan Malaysia-Singapura dan kedudukan Malaysia dalam tragedi MH17.

Buku itu boleh didapati di PTS Publishing House bermula hari ini dengan harga RM35.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan