KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Misi "Journey to Tanah Haram" pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam Negara Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagi Qobin sampai ke penghujungnya, setelah mereka selamat tiba di Masjid Nabawi, Madinah pada 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu tempatan) hari ini.
Kedua-dua mereka tiba selepas berkayuh dari pekan akhir di Al Henakiyah pagi tadi sejauh 115 kilometer.
Qobin berkata mereka bersyukur kerana berjaya menamatkan pengembaraan itu dengan selamat.
"Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami berdua menjejakkan kaki ke bumi Madinah dengan sebahagian besarnya berkayuh basikal, (menaiki) kenderaan darat dan udara.
"Kami berdua bukanlah mahu mencipta apa-apa rekod, kami hanya mahu mencapai impian bersama untuk berkayuh basikal dan mengembara dari tanah air ke bumi Madinah," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, Amar menyifatkan pengembaraan itu sebagai perjalanan 'epik' buat dirinya yang amat mencabar mental serta fizikal termasuklah terpaksa mengharungi cuaca panas dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius.
"Perasaan saya amat terharu, tergamam dan tak sangka boleh sampai ke Madinah dengan mengembara melalui jalan darat menggunakan basikal sebagai kenderaan utama. Kami berdua tak sabar untuk ke Masjid Nabawi untuk ziarah Makam Rasulullah,” katanya.
Dilepaskan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dari Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu, pengembaraan Amar dan Qobin merentasi empat negara mengambil masa 33 hari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial