Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kepimpinan Malaysia Terserlah Pada Sidang Kemuncak ASEAN, Dengan Pencapaian Utama Dan Perkongsian Global

30/05/2025 10:34 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Tidak dapat dinafikan, Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di ibu negara awal minggu ini, berakhir dengan kejayaan membanggakan, sekali gus mencatat detik penting dalam sejarah diplomasi serantau serta menyerlahkan kepimpinan Malaysia di pentas Asia Tenggara.

Sidang kemuncak itu, yang disertai oleh pemimpin kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama, menyaksikan beberapa pencapaian signifikan direkodkan.

Satu daripada pencapaian utama adalah pemakluman rasmi bahawa Timor-Leste bakal menjadi anggota penuh ASEAN menjelang Oktober 2025.

Penyertaan dalam ASEAN bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan keputusan dalam blok ini memerlukan kesepakatan sebulat suara. Penolakan oleh mana-mana anggota boleh menggagalkan proses tersebut.

Negara termuda di Asia ini, dengan populasi sekitar 1.5 juta orang, melalui pelbagai cabaran — malah seorang diplomat Timor-Leste berseloroh, “masuk syurga lebih mudah daripada menyertai ASEAN.”

Ad Banner

Timor-Leste, negara yang kaya dengan sumber asli, terletak di bahagian timur Pulau Timor, merupakan negara yang paling timur di Kepulauan Indonesia.

Namun, dengan sokongan kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gigih memperjuangkan kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, pelbagai usaha dan rundingan di belakang tabir telah digerakkan bagi memastikan kesepakatan dapat dicapai.

Selepas bertahun-tahun membuat persiapan dan menyertai mesyuarat sebagai pemerhati, keanggotaan Timor-Leste akhirnya mendapat sokongan sebulat suara.

Perdana Menteri menyifatkan keputusan itu sebagai 'bersejarah dan sangat simbolik', yang mencerminkan komitmen ASEAN terhadap prinsip keterangkuman serta sokongan kepada negara-negara demokrasi yang sedang membangun di rantau ini.

Malaysia turut memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan kepada bakal diplomat Timor-Leste menerusi Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).

IDFR juga telah menganjurkan program khas melibatkan lebih 50 pegawai kerajaan Timor Leste sebagai persediaan ke arah keanggotaan penuh ASEAN.

Selain itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut berlangsung dengan jayanya di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang, merupakan yang pertama seumpamanya, mencerminkan usaha Malaysia untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan tarif yang semakin membebankan, Al Jazeera menggambarkan pertemuan itu sebagai 'pusat kuasa global alternatif yang terserlah sepenuhnya' dengan kehadiran GCC dan China dalam Sidang Kemuncak ASEAN bagi mesyuarat trilateral yang kali pertama diadakan kumpulan itu.

GCC merangkumi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Kedua-dua mesyuarat ini menyerlahkan kepentingan global ASEAN yang semakin meningkat serta pendekatan strategik rantau ini dalam menjalin hubungan seimbang dengan kuasa-kuasa dunia."

Bagi Anwar, sidang kemuncak ini bukan sahaja kejayaan diplomatik, malah menjadi pencapaian peribadi yang menyerlahkan pengaruh beliau yang semakin meningkat dalam hal ehwal serantau.

Penganjuran sidang itu menandakan detik penting dalam pentadbirannya, sekali gus menjadi pentas untuk menonjolkan komitmen beliau terhadap multilateralisme, pembangunan inklusif dan diplomasi berprinsip.

Anwar turut berjaya memacu kesepakatan ekonomi dengan menghimpunkan sokongan negara anggota untuk memeterai Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan Digital ASEAN (ADTFA), yang memperlihatkan kebolehannya menjalin titik pertemuan antara kepentingan ekonomi yang berbeza.

Malaysia juga berjaya menyelaraskan matlamat ekonomi digital negara dengan aspirasi serantau ASEAN.

Ada yang mempersoalkan mengapa isu Palestin dibangkitkan dalam forum yang sepatutnya menumpukan kepada kerjasama ekonomi serantau. Namun, hakikatnya ASEAN perlu menjadi suara yang dihormati masyarakat antarabangsa.

 Anwar memanfaatkan platform sidang itu untuk menggesa ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, satu pendirian bersama yang jarang dicapai dalam isu antarabangsa yang sensitif.

Anwar juga mengadakan sesi khas mengenai tenaga mampan, menghimpunkan para menteri dan pemimpin sektor swasta untuk membincangkan usaha mempercepatkan peralihan tenaga.

Cadangannya untuk mewujudkan Inisiatif Kewangan Hijau ASEAN serantau mendapat sambutan, dengan beberapa negara anggota bersetuju untuk meneroka penerbitan bon hijau secara bersama.

Kementerian Luar juga wajar diberikan pujian atas penganjuran sidang kemuncak yang lancar dan teratur, sekali gus meningkatkan kedudukan diplomatik Malaysia di peringkat serantau. Ia memperkukuh reputasi negara sebagai pemain serantau yang berupaya dan konstruktif.

Penekanan Anwar terhadap dialog, keterangkuman dan solidariti serantau jelas mendapat sambutan daripada para pemimpin ASEAN serta rakan luar.

Namun, tugas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ masih belum selesai sepenuhnya.

Tiga acara utama bakal berlangsung iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar (AMM PMC) pada Julai, serta Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada September.

Kemuncaknya ialah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 24 hingga 26 Oktober yang dijangka turut dihadiri oleh rakan dialog ASEAN.

Rakan dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai ialah seorang wartawan veteran dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan