Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nanta Cadang Dataran Bujang Berani Di Kapit Sebagai Penghormatan Kepada Kaum Dayak

30/05/2025 08:42 PM

KUCHING, 30 Mei (Bernama) -- Sebuah dataran ikonik yang dinamakan Dataran Bujang Berani dicadangkan untuk dibina di Kapit di pedalaman tengah Sarawak sebagai penghormatan kepada sumbangan besar masyarakat Dayak dalam aspek keselamatan dan pembangunan negara.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dataran tersebut dicadangkan dibina berhampiran Kubu Silvia, sebuah tapak bersejarah yang berpotensi dijadikan simbol sempena memperingati 100 tahun pendamaian di Kapit serta perjuangan masyarakat Dayak.

“Bahagian Kapit ini adalah bahagian pedalaman yang kaum Dayak pernah menyumbang kepada pembangunan negara Malaysia yang kita wujudkan,” katanya dalam kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena pelancaran buku Commemorating A Century Of Kapit Peacekeeping (1924–2024) di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan pembinaan dataran berkenaan bukan sahaja bertujuan memperingati peristiwa perdamaian bersejarah, tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada komuniti Dayak yang telah lama menyumbang dalam mempertahankan negara, termasuk sebelum penubuhan Malaysia.

"Sebelum Malaysia pun (mereka) dah berjuang sebagai tentera keselamatan sewaktu Darurat Malaya sebagai Sarawak Rangers dan juga sebagai Malaysian Rangers,” katanya.

Nanta berkata Dataran Bujang Berani ini berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat rujukan sejarah serta lambang semangat perpaduan untuk generasi masa hadapan.

Ad Banner

Berhubung pelancaran buku Commemorating A Century Of Kapit Peacekeeping (1924–2024), beliau berkata ia merupakan dokumen penting yang menghimpunkan maklumat sejarah, kertas kerja, ucapan serta koleksi gambar berkaitan peristiwa pendamaian antara pelbagai etnik Dayak di Kapit 100 tahun lepas.

“Buku ini bukan sahaja mengabadikan detik bersejarah yang berlaku antara komuniti di Sarawak dan kawasan sempadan Indonesia, malah berfungsi sebagai bahan rujukan berharga bagi generasi akan datang untuk memahami asas keharmonian yang terbina hari ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan