Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peningkatan Hingga 60,000 Kenderaan Di LPT2 Sempena Cuti Aidiladha

31/05/2025 11:44 AM

KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 Sdn Bhd menjangkakan peningkatan trafik hingga 60,000 kenderaan sehari di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha. 

LPT2 dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah peningkatan kenderaan dijangka berlaku pada hari-hari puncak, iaitu 5 dan 6 Jun serta 8 dan 9 Jun ini.

“Sehubungan dengan itu, pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur menggunakan LPT2 dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal pada musim perayaan ini,” menurut kenyataan berkenaan. 

Dalam pada itu, LPT2 Sdn Bhd memaklumkan pihaknya bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya melalui beberapa inisiatif, termasuk menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak.

“Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di LPT2 antara 5 hingga 10 Jun. 

“Oleh itu, LPT2 menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 hingga 7 Jun, serta menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha,” katanya.

Sementara itu, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di LPT2 bermula 5 hingga 9 Jun ini kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.

LPT2 Sdn Bhd turut mengambil beberapa langkah lain, antaranya menyediakan lebih 300 petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza tol dan pusat pemantauan trafik. 

“Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna.

LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas dan surau yang disediakan di plaza tol terdekat,” menurut kenyataan berkenaan. 

Pada masa yang sama kenyataan itu memaklumkan, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi X@lpt2trafik, LPT2Line 1800-88-0220, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara. 

Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau ‘Google Maps’ untuk merancang laluan yang akan digunakan dan mereka boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 sekiranya ingin mendapatkan bantuan kecemasan.

 -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan