Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MBKT Lakukan Kerja Penebatan Semula Kabel Rosak Di Dataran Drawbridge

05/06/2025 10:29 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menjalankan kerja-kerja penebatan semula kabel elektrik yang rosak di Dataran Drawbridge.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Jusman Ibrahim berkata ia susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang dimasukkan ke hospital kerana melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika bersiar-siar bersama keluarganya di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya telah menerima aduan pada 11.18 malam semalam dan pasukan teknikal daripada bahagian elektrikal MBKT dikerah memeriksa punca kejadian pagi tadi.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan kabel elektrik yang mengalami kerosakan dan menyentuh tiang lampu jalan MBKT.

"Tindakan segera telah diambil oleh MBKT dengan melakukan pemeriksaan pada semua kabel, seterusnya menjalankan penebatan semula kabel menggunakan kaedah penebat pengecut haba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jusman berkata bagi mengelak kejadian sama berulang, pihak MBKT akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh secara berperingkat di kawasan Dataran Drawbridge dan sekitarnya yang menjadi tumpuan pelancong.

Beliau berkata pihaknya memandang serius setiap aduan menerusi pelbagai medium kerana ia melibatkan isu keselamatan awam.

"MBKT ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar kanak-kanak berkenaan sembuh sepenuhnya.

"Pada masa sama MBKT ingin mengingatkan sebarang perbuatan vandalisme adalah satu jenayah yang bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah membahayakan keselamatan orang lain," katanya.

Terdahulu tular menerusi laman sosial mendakwa seorang kanak-kanak cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika berlegar di kawasan jualan trak makanan di Dataran Drawbridge.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan