KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyifatkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan keperluan permit bagi penggunaan gas petroleum cecair (LPG) sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk melindungi peniaga tempatan.
Presidennya Datuk William Ng berkata meskipun perubahan itu bersifat pentadbiran kecil, kesannya besar kepada kesinambungan perniagaan dan kos sara hidup rakyat.
“Tanpa langkah-langkah ini, ribuan perniagaan kecil terutamanya dalam sektor mikro dan tidak formal, mungkin terjejas teruk. Kami amat hargai pendekatan proaktif kerajaan yang berjaya mengelakkan satu krisis perniagaan mikro di peringkat nasional.
“Lebih penting lagi, keputusan-keputusan ini menghantar mesej jelas dan positif bahawa kerajaan mengiktiraf Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai tonggak utama ekonomi negara, serta bersikap responsif dan bersedia menambah baik dasar berdasarkan maklum balas dari peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dimuktamadkan Oktober ini.
Beliau berkata dalam tempoh peralihan itu, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap golongan peniaga berkenaan.
Mengenai pengecualian keperluan e-invois serta lanjutan tempoh pelaksanaan e-invois bagi PKS, Ng berkata perkara itu melindungi peniaga kecil, penjaja dan kedai milik keluarga yang kebanyakannya tidak mempunyai infrastruktur digital daripada beban pematuhan yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar atau beroperasi secara tidak formal.
“Kami amat menghargai keputusan tegas kerajaan untuk mengecualikan secara kekal perniagaan yang mencatatkan pendapatan tahunan di bawah RM500,000 daripada kewajipan e-invois.
“Begitu juga, penangguhan pelaksanaan e-invois bagi perniagaan dengan pendapatan di bawah RM5 juta kepada 1 Jan 2026 memberi ruang dan masa amat diperlukan oleh PKS untuk membuat persediaan, meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri. Fleksibiliti sebegini amat penting bagi kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan kecil dalam landskap ekonomi yang kian berubah,” katanya.
Semalam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi kenyataan memaklumkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan sistem e-Invois buat masa ini.
Agensi itu turut memaklumkan pelaksanaan e-Invois bagi pembayar cukai berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan kepada 1 Jan 2026, manakala kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.
Menurut LHDN, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil maklum komitmen pembayar cukai, khususnya peniaga kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang memerlukan masa bersedia selain berdepan pelbagai cabaran pelaksanaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial