GEORGE TOWN, 6 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dua video tular dimuat naik seorang individu di TikTok, yang didakwa berunsur tohmahan terhadap mereka.
MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan polis dibuat oleh empat ahli majlisnya iaitu Tan Soo Siang, R. Harikrishnan, Muhammad Khairul Mohd Ali dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
“Video itu mengandungi pelbagai tuduhan tidak benar, berat sebelah serta tidak berlandaskan kepada fakta dan data tepat. Kenyataan dalam video itu tidak berasas serta boleh mengelirukan orang awam,” menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pencipta kandungan video TikTok itu atau individu lain yang sengaja mencemarkan nama baik dan imej MBPP tanpa maklumat sah.
Terdahulu, seorang individu memuat naik dua video di TikTok mendakwa MBPP menerima rasuah dan berlaku berat sebelah dalam tindakan penguatkuasaan oleh kakitangan majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan petugas mereka mengambil rasuah, dengan video berkaitan juga tular di media sosial.
MBSP dalam kenyataan memaklumkan tidak akan berkompromi jika terdapat salah laku melibatkan rasuah dan integriti, serta telah berjumpa pemilik perniagaan terlibat bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung insiden itu.
“MBSP juga menuntut pemilik perniagaan itu membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika benar terbukti ada unsur rasuah oleh petugas MBSP,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, sebuah video berdurasi dua minit memaparkan seorang lelaki mendakwa petugas MBSP menyalahgunakan kuasa di premis perniagaan milik rakannya seperti meminta wang dan menahan warga asing tanpa sebab yang jelas tular di TikTok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial