IPOH, 10 Jun (Bernama) -- Air mata dan rasa hiba rakyat Malaysia terutama warga Perak mengiringi perjalanan ‘pulang’ 13 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik ke kampung halaman masing-masing malam tadi.
Rasa sedih itu dizahirkan warga Perak yang sanggup berjaga dan setia menanti sepanjang jalan raya bagi memberi penghormatan terakhir kepada konvoi yang membawa jenazah semua penuntut berkenaan dari Ipoh ke Jertih, Terengganu.
Konvoi itu bergerak dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8.55 malam melalui JRTB Gerik-Jeli dengan diiringi Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dan Kelantan serta warga UPSI.
Sepanjang laluan dari Ipoh ke Kuala Kangsar, kemudian melalui Lenggong menghala ke pekan Gerik kelihatan penduduk berada di tepi jalan merakam detik-detik perjalanan konvoi itu, yang kemudian turut berkongsi detik-detik pilu berkenaan di media sosial masing-masing.
Menerusi komen-komen di video yang dimuat naik itu, rata-rata warga maya meluahkan perasaan sedih dan sebak, selain turut menitipkan doa agar konvoi berkenaan selamat sampai ke destinasi, roh-roh jenazah ditempatkan dalam kalangan yang beriman dan dimasukkan ke dalam syurga.
“Dari Ipoh, merambu air mata, Allahu tak kuat walaupun bukan keluarga tapi saudara Islam,” komen seorang netizen Saira Begum.
Seorang lagi netizen Suhaimi Abdul Rahman memberi komen: “Allahuakbar… Mengalir air mataku di pagi ini… Terbayangkan jika itu anak-anak ku, Ya Allah… Tempatkanlah anak-anak ini di darjat yang tertinggi… Sesungguhnya mati itu pasti...”
Terdahulu, dua jenazah penuntut UPSI yang dibedah siasat di Hospital Gerik iaitu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dibawa keluar dari Unit Forensik hospital berkenaan pada 6.25 petang semalam setelah dituntut oleh keluarga masing-masing.
Jenazah mereka dibawa pulang ke kampung halaman di Terengganu dengan van jenazah UPSI dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diiringi kenderaan polis untuk dikebumikan.
Sementara 13 jenazah lagi yang selesai dibedah siasat lewat petang semalam di Jabatan Forensik HRPB di sini dibawa pulang ke Terengganu dan Kelantan secara konvoi kira-kira 8.55 malam dan sampai ke Masjid Al-Hadhari, Jertih Terengganu pada 2.55 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di sekitar Terengganu dan Kelantan.
Mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21; Mohammad Aqil Taqiudin, 21; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; Fakhrul Arif Rosdi, 20; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21; Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21; Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Nor Ayuni Maslan, 21; Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.
Sementara itu, di PASIR PUTEH, seorang daripada sukarelawan yang terlibat dalam konvoi membawa pulang jenazah 13 pelajar UPSI dari Ipoh ke kampung halaman masing-masing, menyifatkan pengalaman itu paling meruntun jiwanya sepanjang pembabitan dalam bidang kesukarelawan.
Pengasas Tengku Hatrith Team Ventures Tengku Muhd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis berkata sepanjang perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ke Besut melalui JRTB, orang ramai dilihat berdiri di tepi jalan sambil melambai tangan dan memberi isyarat lampu.
“Malah ada juga pengguna jalan raya lain yang berhenti di tepi jalan sebagai tanda penghormatan terhadap semua mangsa yang terkorban dalam nahas mengejutkan kita itu,” katanya kepada Bernama di Kampung Wakaf Raja di sini hari ini.
Beliau berkata semangat tolong-menolong dan sokongan masyarakat setempat memberi kekuatan kepada para sukarelawan yang berkhidmat tanpa mengharapkan sebarang bayaran.
“Malah, sambutan turut diterima seawal mereka tiba di bilik forensik hospital apabila orang ramai hadir menghulurkan sumbangan makanan kepada petugas.
“Misi ini melibatkan 20 kenderaan bergerak secara konvoi, yang turut membawa ahli keluarga mangsa dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dan Besut bagi melancarkan perjalanan serta pengurusan jenazah,” katanya.
Misi kemanusiaan itu turut disertai badan bukan kerajaan lain dari seluruh negara, antaranya Amal Warisan Kedah, Amal Besut, Amal Setiu dan Ummah Care Pasir Puteh yang berganding bahu demi memastikan kelancaran perjalanan dan pengebumian jenazah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial