Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jenazah Terakhir Penuntut UPSI Mangsa Nahas Bas, Selamat Dikebumi Di Jertih

10/06/2025 12:31 PM

JERTIH, 10 Jun (Bernama) -- Jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nurul Fatihah Abu Setaman yang terkorban dalam nahas kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi Isnin, selamat dikebumikan pagi ini.

Nurul Fatihah, 22, merupakan mangsa terakhir dikebumikan pada 10.39 pagi tadi, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek di sini.

Terdahulu, jenazah mahasiswa tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) itu disolatkan buat kali kedua di kediamannya di Kampung Gong Duek 10 pagi tadi, selepas solat jenazah pertama bersama 12 jenazah rakan universitinya, dilakukan di Masjid Hadhari di sini, pada 2.55 pagi tadi.

Allahyarham yang meninggal di tempat kejadian awal pagi semalam merupakan anak ke empat daripada enam merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jertih di sini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat pengurusan jenazah kesemua penuntut terlibat, dari lokasi kejadian kemalangan sehingga selamat tiba ke kampung halaman masing-masing, khususnya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Juga terima kasih kepada semua pihak universiti awam yang terlibat seperti UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) yang menyediakan penginapan kepada 160 pelajar UPSI yang datang ke Terengganu bagi memberi penghormatan terakhir kepada rakan-rakan mereka.

“Ini membuktikan semangat kesepakatan dan kebersamaan antara universiti awam dalam menghadapi krisis besar seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pengebumian Nurul Fatihah di sini.

Dalam pada itu, UPSI menerusi hantaran di laman Facebook rasminya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melancarkan urusan berkaitan.

"Sama-sama kita terus mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," menurut hantaran itu.

Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan