PADANG BESAR, 12 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedang melaksanakan projek rintis ‘No Dust’ dalam memastikan kawasan tumpuan di negara ini sentiasa bersih dan bebas debu.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata menerusi projek rintis itu, pihaknya melaksanakan kerja-kerja pembersihan menggunakan kaedah cucian bertekanan tinggi selain sapuan secara manual.
"Ini adalah pendekatan untuk mentransformasikan pembersihan yang telah kami lakukan, 'umur' kami (SWCorp) dah 17 tahun. Jadi pada umur ini, kami telah matang dan ingin menerokai serta memberikan satu fungsi di luar kotak pemikiran seperti mana sedang dinikmati di negara lain terutamanya seperti di China.
“Negara itu mempunyai satu keadaan jalan tanpa debu. Kawasan-kawasan tumpuan masyarakat termasuk pelancong tanpa debu. Bukan saja bersih tetapi tanpa debu,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Pembudayaan Kitar Semula peringkat negeri 2025 di Dewan Seri Melati, Beseri dekat sini hari ini.
Perasmian program itu disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pembangunan) Rusdi Yahya.
Khalid berkata projek rintis itu telah dilaksanakan antaranya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selain di Pantai Chenang, Langkawi dan bandar Seremban manakala di Dataran Sena, Kangar pula dilakukan pada malam tadi.
Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai terhadap pendekatan itu dan bercadang untuk meneruskan usaha berkenaan secara berfasa sebagai perancangan masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial