KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kualiti insan perlu kekal menjadi teras utama dalam adaptasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bilik berita bagi memastikan integriti serta nilai kewartawanan terus terpelihara.
Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail berkata walaupun AI menawarkan kemudahan dan kecekapan dalam proses kerja, teknologi itu tidak boleh mengambil alih sepenuhnya peranan wartawan sebagai penyampai cerita dan penjaga nilai kebenaran.
"Kemajuan teknologi memang penting, tetapi asasnya tetap pada human qualities. Falsafah asasnya ialah bagaimana AI dapat mengukuhkan semula kualiti kita sebagai wartawan dan juga produk kewartawanan itu sendiri.
"Teknologi ini akan datang dan pergi, tetapi yang mengukuhkan kita adalah falsafah asas, iaitu manusia dan produk kita," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika' sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang disiarkan oleh BernamaTV, malam tadi.
Turut hadir sebagai tetamu pada program itu ialah Ketua Pengarang The Jakarta Post Taufiq Rahman dan Ahli Media Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Ashwad berkata penggunaan AI harus disertai dengan prinsip panduan dan etika yang jelas supaya tidak tersasar daripada matlamat asal kewartawanan yang berpaksikan kebenaran dan tanggungjawab sosial.
"Apabila kita meletakkan hakikat bahawa 'a man has to be the man behind the machine', maka asasnya ialah keperluan kepada prinsip dan garis panduan dalam mendepani, menggunakan, malah menyantuni AI itu sendiri," katanya.
Sementara itu, Taufiq berkata AI boleh menjadi alat bantu yang berguna dalam proses kerja seperti menyusun data atau memproses dokumen, namun keputusan berita tetap perlu ditentukan oleh manusia di bilik berita.
"Media ialah industri kebenaran. Apa yang kami laporkan, apa yang kami tulis, semuanya berkaitan kebenaran. Saya masih ragu-ragu sama ada AI hari ini mampu memahami nuansa, atau kehalusan makna dalam sesuatu laporan," katanya.
Taufiq berkata di Indonesia, Dewan Pers telah mengeluarkan garis panduan penggunaan AI dalam jurnalistik pada Januari lepas yang antara lain menekankan keperluan melabelkan kandungan dihasilkan oleh AI.
"Jika sesuatu berita, foto atau video dihasilkan oleh AI, ia mesti dilabelkan dengan jelas. Kita tidak boleh menipu khalayak dengan mendakwa ia sebagai hasil kerja wartawan," katanya meskipun terdapat organisasi media masih menggunakan peralatan asas, tidak bermaksud telah kalah tetapi bukti komitmen mempertahankan prinsip etika yang diamalkan selama berabad.
Dalam pada itu, Sayed Munawar berkata isu etika kewartawanan kekal relevan meskipun dalam era AI yang pesat berkembang kerana etika bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya bentuk pelaksanaannya berubah selaras dengan perkembangan teknologi.
"Etika tetap kekal sebagai isu yang relevan. Apa yang berubah hanya sedikit dari segi konteks seperti privacy vs intrusion. Sekarang timbul soal AI, tetapi prinsip etika masih seperti dahulu. Cuma, dengan kehadiran AI, ia akan lebih cepat, mungkin lebih tepat dan lebih dipandu.
"Kalau sifatnya alat, AI kekal sebagai alat. Ibarat kapak, ia tidak akan berfungsi jika tidak digunakan. Namun, yang tidak dimiliki AI adalah hikmah. Sejauh mana kita mahu gunakan alat ini dan untuk apa? Kapak yang tumpul pun boleh jadi penukul. Itu kreativiti," katanya.
Sambutan HAWANA 2025 selama tiga hari hingga esok dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.
Majlis kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial