Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Industri Media Disaran Perkasa AI Untuk Kelebihan Daya Saing

14/06/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Industri media perlu memperkasakan kecerdasan buatan (AI) dengan membentuk pembangunan dan penggunaan teknologi itu secara aktif untuk memperoleh kelebihan daya saing.

Ketua Unit Bahasa Malaysia dan Video FMT Sdn Bhd Zahrul Alam Yahya Shahir berkata media memainkan peranan penting dalam menyalurkan data yang digunakan untuk melatih sistem AI.

Bercakap pada Forum Media HAWANA 2025 di sini hari ini, beliau menyatakan bahawa AI berfungsi dengan lebih baik apabila dilatih menggunakan kandungan tersusun, kerana teknologi itu lebih mengutamakan kandungan yang menggariskan isu dengan jelas dan menerangkan masalah.

"Kandungan yang AI hasilkan sebenarnya datang daripada kita, jadi sebab itulah saya katakan, sudah tiba masanya kita memperkasakan AI dengan kandungan kita … kandungan analitik yang kita masukkan dalam media sosial dan sebagainya.

"Jangan takut dengan AI, kita (media) telah lama bertahan dengan AI," katanya pada forum bertajuk AI & Media: Tool, Threat or Opportunity? di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarang Kanan Astro AWANI Nazri Kahar yang turut hadir sebagai tetamu pada program itu menegaskan bahawa teknologi seperti AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya merupakan peluang penting yang perlu dimanfaatkan oleh warga media.

Beliau berkata dunia kewartawanan kini berada pada satu titik persimpangan yang kritikal dan memerlukan pengamal media untuk segera menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi terkini.

"Ini merupakan masa yang begitu penting untuk kita ambil peluang. Kita jangan anggap teknologi sebagai musuh yang akan melenyapkan dunia media. Sebaliknya, kita perlu menetapkan sempadan, adaptasi dan terus bergerak ke hadapan," katanya. 

Nazri turut berkongsi pengalaman peribadi pada 2010 ketika beliau melakukan liputan secara langsung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu menggunakan peranti mudah alih iPhone, tanpa kebergantungan kepada peralatan siaran konvensional yang mahal seperti satelit.

"Saya masih ingat, kami buat siaran langsung terus dari lokasi hanya menggunakan iPhone. Pada waktu itu, ia satu pendekatan baharu. Kami gunakan Skype, dan hasilnya memuaskan," katanya sambil menambah bahawa pendekatan berkenaan membuka mata ramai pihak terhadap potensi teknologi dalam bidang kewartawanan.

Mengulas lanjut, Nazri berkata organisasi media tidak boleh terikat dengan pendekatan lama semata-mata kerana isu seperti kualiti audio dan visual, sebaliknya harus mendahulukan nilai berita dan ketepatan masa dalam penyampaian maklumat.

Sesi forum yang dikendalikan oleh penyampai berita Bernama TV dan wartawan penyiaran Jessy Chahal disertai lebih 250 wartawan, pengamal media, ahli akademik dan pelajar.

Turut hadir, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.

Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan