Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SMD Pelawa Bakat Muda Teroka Kerjaya Reka Bentuk Cip Di TRACE 2025

15/06/2025 09:47 PM

KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Syarikat semikonduktor milik Sarawak, SMD Semiconductor, mempelawa generasi muda berbakat untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang reka bentuk cip dengan berkunjung ke reruai mereka sempena Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (TRACE) 2025 pada 17 dan 18 Jun ini, di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kampus Kota Samarahan.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Shariman Jamil berkata syarikat berkenaan giat mengenal pasti bakat dari Sarawak sambil memperkenalkan bidang reka bentuk cip sebagai kerjaya yang memberi kesan nyata, melangkaui tugas teknikal.

“Pereka cip merupakan tenaga di sebalik teknologi yang menggerakkan telefon pintar, kenderaan elektrik, peranti perubatan dan kediaman pintar. Dengan permintaan global yang tinggi, industri ini menawarkan kestabilan kerjaya jangka panjang, gaji kempetitif serta kepuasan melihat inovasi anda direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariman berkata SMD menyediakan pelbagai laluan untuk graduan tempatan termasuk latihan industri hingga penempatan tetap dalam bidang reka bentuk cip, kejuruteraan semikonduktor dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata program utama syarikat itu Program Penguasaan Semikonduktor, iaitu program latihan selama enam bulan yang memberikan penekanan kepada reka bentuk Litar Bersepadu (IC) Analog dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama beberapa rakan strategik utama termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD); pembekal semikonduktor global berpangkalan di Belgium Melexis NV; fabrikasi semikonduktor dari Jerman X-Fab Sarawak serta Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Selain itu, SMD turut bekerjasama rapat dengan universiti tempatan dalam menyediakan latihan dan pendidikan lanjutan termasuk program pascasiswazah dalam bidang mikroelektronik melalui kerjasama dengan Swinburne University of Technology Sarawak.

“Di reruai kami, pengunjung berpeluang bertemu dengan profesional industri, menyerahkan resume secara terus serta meneroka peluang menyertai pasukan kami atau mengikuti latihan khusus di SMD Academy, yang ditubuhkan bagi melahirkan tenaga kerja Sarawak dalam sektor digital berimpak tinggi,” katanya.

Shariman berkata penglibatan SMD dalam TRACE 2025 selaras dengan visi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan negeri itu sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi di peringkat serantau menjelang 2030.

“Selari dengan aspirasi ini, SMD menerajui inovasi mampan, amalan ekonomi kitaran dan teknologi pembungkusan cip yang maju. Kami sedang membina asas bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pencapaian penyelidikan serta peluang pekerjaan dalam bidang AI, teknologi automotif dan reka bentuk cip bersepadu,” katanya.

TRACE adalah karnival kerjaya terbesar di Sarawak dan dijangka menarik penyertaan lebih 80 syarikat dengan lebih 15,000 pengunjung dijangka hadir pada penganjuran tahun ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan