Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tiga Lukisan Allahyarham Muhammad Mustaqim Beri Bayangan Nahas Di Gerik

17/06/2025 05:26 PM

JERTIH, 17 Jun (Bernama) -- Tiga lukisan dihasilkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Mustaqim Rosde, 21, seperti memberi bayangan akan kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak minggu lepas yang meragut nyawanya bersama 14 rakan lain. 

Ibu Allahyarham, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata lukisan sebuah bas, jalan raya berlatarbelakangkan hutan dan tulisan kreatif berkaitan kematian merupakan antara lebih 100 koleksi lukisan Muhammad Mustaqim yang disimpan dalam fail di bilik tidurnya.

“Kalau belek betul-betul lukisan arwah, lukisan yang pertama memaparkan sebuah bas, lukisan kedua pemandangan jalan raya berlatarbelakangkan hutan dan terdapat juga penghadang jalan manakala lukisan ketiga adalah pemandangan pokok-pokok yang disertakan tulisan atau kata-kata berkaitan kematian.

“Ia seakan-akan memberi gambaran akan kemalangan tersebut,” kata wanita itu kepada pemberita di kediamannya di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut dekat sini selepas dikunjungi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Bagaimanapun, Juariah memahami apa yang dilukis oleh anaknya manakala tragedi yang menimpa hanyalah satu kebetulan dan dia reda akan pemergian Muhammad Mustaqim.

Dalam pada itu, Juariah berkata dia dan suami Rosde Yaakub, 58, sepakat untuk tidak menjual lukisan-lukisan Allahyarham meskipun ada yang menyuarakan hasrat untuk membelinya.

“Biarlah lukisan-lukisan ini kami simpan sampai bila-bila. Ia merupakan peninggalan arwah yang sangat bermakna buat kami,” katanya.

Dalam nada sebak, Juariah berkata Muhammad Mustaqim yang juga anak kedua daripada empat beradik sememangnya memiliki bakat melukis sejak kecil dan bercita-cita untuk menjadi guru pendidikan seni selepas tamat pengajian di UPSI.

Muhammad Mustaqim adalah antara 15 penuntut UPSI yang maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB pada awal pagi 9 Jun. 

Nahas tersebut menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita berkata program ziarahnya ke atas 15 keluarga mangsa yang terkorban di Besut dan Setiu hari ini turut menyaksikan keseluruhan sumbangan kerajaan negeri kepada mangsa dan keluarga terlibat telah selesai diagihkan.

“Ini satu tempoh yang sangat penting. Tempoh dua minggu pertama ini adalah tempoh untuk meredakan tekanan psikologi dan melihat di mana kerajaan negeri boleh beri bantuan untuk semua keluarga yang terlibat bagi membolehkan mereka 'move on’ dalam kehidupan mereka

“Pemberian sumbangan (daripada kerajaan negeri) telah selesai dan kita sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar termasuk syarikat-syarikat, mana-mana organisasi dan individu. Kita harap ia boleh memberi satu suntikan motivasi kepada anggota keluarga,” katanya. 

Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM3,000 kepada waris 15 penuntut yang terkorban manakala bantuan RM1,000 akan turut diberikan kepada 33 mangsa yang cedera dan terlibat dalam nahas itu. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan