LANGKAWI, 18 Jun (Bernama) -- Strategi inovatif bagi memastikan penyesuaian dan penambahbaikan berterusan dalam mengurangkan bilangan Kanak-kanak dan Belia Yang Tidak Bersekolah (OOSCY) menjadi fokus utama Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN (#EduRoundtables2025) bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata antara perkara signifikan yang ingin dicapai pada sesi dua hari itu, adalah untuk menerima pakai Kenyataan Bersama bagi ASEAN OOSCY sebagai dokumen hasil, iaitu kesefahaman bersama Menteri-Menteri ASEAN.
Beliau berkata Kenyataan Bersama dicadangkan sebagai kerangka panduan untuk memajukan tindakan bersama dalam menangani cabaran kritikal yang telah menghalang kemajuan dalam memastikan akses kepada pendidikan.
“Kenyataan Bersama itu akan berperanan sebagai dokumen asas atau komitmen baharu untuk memperkukuh pendidikan di rantau ini dalam tempoh sedekad akan datang. Khususnya, berkaitan isu seperti the Digital Divide and Limited Access to Technology; Economic Challenges and Rising Poverty Levels; Climate Change, Conflict and Displacement; and Inclusive Policies for Marginalised Groups.
“Bagi Malaysia, ia akan mengukuhkan kerjasama dengan negara ASEAN dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terutamanya dalam memanfaatkan pengetahuan, kepakaran, dan rangkaian tempatan kita untuk menangani keperluan OOSCY,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Aminuddin berkata perkongsian itu juga diharap meningkatkan kerjasama pendidikan antara negara ASEAN dalam memperbaiki usaha capaian dan memastikan intervensi yang mampan serta bersesuaian dengan konteks setempat.
Selain anggota ASEAN dan Timor Leste sebagai pemerhati, Forum Pendidikan ASEAN turut akan disertai wakil daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).
“Forum ini menyediakan platform dinamik untuk perkongsian rangka tindakan inovatif yang menangani isu-isu kritikal dihadapi oleh OOSCY, dengan penekanan kepada usaha memastikan akses yang saksama kepada pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran bagi kumpulan yang terpinggir, seperti yang ditekankan dalam SDG4-Education 2030 Agenda,” katanya.
Pada ucapan penutupan pada Forum Pendidikan ASEAN hari ini, Aminuddin menzahirkan penghargaan kepada semua ahli panel dan peserta dalam memberikan input dengan matlamat untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif kepada kanak-kanak dan belia di ASEAN.
“Sebagai pembuat dasar, kami mengakui kepentingan akses kepada pendidikan, namun turut timbul persoalan tentang akses kepada teknologi, pembiayaan, kesesuaian teknologi, serta masa yang sesuai untuk melaksanakannya. Pandangan mereka (ahli panel) mengukuhkan lagi hakikat bahawa pendidikan memainkan peranan amat penting dalam membentuk masa depan serantau yang makmur dan inklusif.
“Sekali lagi, wakil dari Malaysia menunjukkan bagaimana kerjasama merentasi pelbagai sektor dapat membuka peluang baharu untuk memastikan setiap pelajar mendapat akses dan pada masa sama menekankan kepentingan penyelesaian pendidikan yang berasaskan data dan dipacu oleh teknologi,” katanya.
Terdahulu, berlangsung dua sesi forum bertajuk “Mobilising Resources, Advancing Efforts on OOSCY” dan “Innovative and Technology-Driven Solutions: An Enabler for Inclusion,” untuk mencari langkah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan bagi kumpulan yang kurang bernasib baik dan terpinggir.
Kemudian, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM Dr Wan Raisuha Wan Ali membentangkan "Kenyataan Bersama Langkawi mengenai Keciciran Murid dan Belia (OOSCY): Mempercepat Strategi Inovatif: Menangani Cabaran OOSCY,” yang akan dibincangkan dalam sesi tertutup Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN, esok.
Selain Forum Pendidikan ASEAN yang berlangsung hari ini, KPM juga akan menganjurkan sesi tertutup Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan ASEAN pada esok.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadualkan menyampaikan ucapan pada sesi berkenaan.
Malaysia, yang kini mempengerusikan ASEAN tahun ini di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", menganjurkan Sidang Kemuncak ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 23 hingga 26 Mei lepas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
Tahun ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menyandang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial