KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Festival Muzik ASEAN-Korea (ROUND) 2025 telah dirasmikan secara rasmi di sini malam ini oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, dalam satu majlis meriah yang meraikan perpaduan menerusi muzik dan pertukaran budaya.
Acara tersebut menghimpunkan diplomat, pemimpin budaya, artis dan tetamu dari negara anggota ASEAN serta Republik Korea, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama serantau.
Khairul Firdaus berkata tema festival tahun ini, Come Around, Here to Shine, sebagai cerminan komitmen Malaysia dalam memupuk model baharu diplomasi budaya di bawah Kepengerusian ASEAN tahun ini.
“Menerusi Festival Muzik ASEAN-Korea ini, kita menegaskan semula kepentingan pertukaran budaya sebagai saluran untuk perpaduan sosial, memperdalam kefahaman bersama dan mengukuhkan ikatan antara rakyat ASEAN dan Republik Korea,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Firdaus berkata Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada kerjasama kreatif dan budaya sebagai alat penting bagi mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat serta pembangunan serantau, selaras dengan semangat Malaysia Madani iaitu satu kerangka inklusif yang mengutamakan kelestarian, kasih sayang dan saling menghormati.
Festival dua hari yang dianjurkan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan BUdaya (MOTAC) dan Korea Broadcasting System (KBS) menampilkan persembahan artis-artis terkenal dari ASEAN dan Korea.
Sementara itu Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-bae berkata festival itu berlangsung pada masa yang amat sesuai, memandangkan Korea menjadi tuan rumah APEC dan Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.
“Bersandarkan visi bersama pada peringkat kepimpinan, kedua-dua negara kita bakal melaksanakan pelbagai inisiatif kerjasama, dengan pertukaran budaya sebagai teras utama,” katanya.
Festival itu juga menjadi pemangkin kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pertembungan budaya dan inovasi seni sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial