KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada ibu tunggal Wan Azizah Wan Mohd Ali, 79, yang hidup dalam serba daif di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika melawat ibu kepada 10 cahaya mata itu dalam kerangka Ziarah MADANI.
Ahmad Farhan berkata Wan Azizah yang bergantung pada pencen arwah suami untuk menyara keluarga, berdepan pelbagai kesukaran kerana turut mengidap penyakit darah tinggi selain perlu mengurus anak yang mempunyai masalah kesihatan mental.
“Kediaman beliau dalam keadaan sangat daif, atap bocor, lantai reput dan berlubang.
“Bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sumbangan sebagai tanda prihatin dan sedang meneliti bantuan sewajarnya bagi meringankan beban puan Wan Azizah, termasuk pembaikan rumah,” katanya dalam catatan di Facebook yang turut dikongsi Perdana Menteri hari ini.
Ahmad Farhan juga mendoakan semoga segala urusan Wan Azizah dipermudahkan Allah SWT.
Program Ziarah MADANI diteruskan di Kampung Padang, Kuantan dengan menziarahi Nawi Yusuf, 82, yang hidup dalam serba kekurangan tanpa pendapatan tetap.
Disebabkan kudrat yang semakin terbatas, warga emas itu hanya bergantung pada anak-anak untuk menyara kehidupan.
Ahmad Farhan berkata keadaan rumah yang didiami Nawi begitu uzur dengan dinding kayu yang bocor dan tidak lagi mampu melindungi daripada panas, hujan serta ancaman keselamatan.
“Bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan dan bakul makanan.
“Usaha lain sedang digerakkan agar bantuan sewajarnya dapat disampaikan secepat mungkin termasuk memperbaiki keadaan tempat tinggal beliau,” katanya yang turut mendoakan semoga segala urusan Nawi dipermudahkan Allah SWT dan sentiasa berada dalam rahmat-Nya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial