KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaziran Makanan bagi menangani pembaziran makanan yang semakin membimbangkan di negara ini.
Pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata undang-undang berkenaan membolehkan Malaysia menangani cabaran alam sekitar, sosial, dan ekonomi di samping menyokong komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Malaysia membuang kira-kira 17,000 tan makanan setiap hari dan lebih 3,000 tan daripadanya masih boleh dimakan. Sebab itu kita perlukan undang-undang khusus untuk mengurangkan pembaziran ini,” katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu dalam rakaman rancangan bual bicara Bernama TV ‘Paarvai’ di Wisma Bernama pada Jumaat lepas.
Subbarow berkata kebanyakan rakyat tidak menyedari sejauh mana seriusnya isu ini sambil menambah: “Kita tinggal di negara yang kaya dengan makanan enak, tetapi malangnya kita sering membuang makanan yang masih boleh dimakan tanpa berfikir panjang, dan faktor ini menjadi antara punca utama pembaziran makanan yang semakin membimbangkan di negara ini
“Satu-satunya cara untuk mengubah tabiat masyarakat adalah melalui undang-undang yang berkesan bagi memupuk sikap yang lebih bertanggungjawab dan mendidik orang ramai,” katanya.
Beliau berkata negara Perancis misalnya, telah meluluskan undang-undang pada 2016 yang melarang pasar raya membuang makanan yang masih boleh dimakan, sebaliknya mewajibkan makanan berkenaan disumbangkan kepada badan kebajikan.
“Malaysia wajar mencontohi langkah seperti itu,” katanya.
Subbarow turut menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya jabatan kerajaan tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi, sambil menyatakan langkah itu tepat pada masanya dan sejajar dengan usaha mengurangkan pembaziran serta menggalakkan penggunaan produk tempatan.
"Kami menyokong penuh gesaan Perdana Menteri. Mengutamakan produk tempatan boleh membantu petani tempatan dan pada masa sama mengurangkan kesan alam sekitar daripada pengangkutan makanan jarak jauh," katanya.
Sementara itu, bagi membantu meringankan beban akibat kenaikan harga sayur-sayuran, beliau menggalakkan rakyat Malaysia menanam sendiri sayuran dan herba kerana ada jenis tanaman yang boleh ditanam walaupun di ruang terhad seperti balkoni atau laman di belakang rumah.
Beliau turut memetik unjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa permintaan makanan global mungkin meningkat sebanyak 70 peratus menjelang 2050, didorong oleh peningkatan pendapatan pengguna di Asia, Eropah Timur, dan Amerika Latin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial