KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli mahupun memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Setiausaha PDRM Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata pihaknya memandang serius kesalahan laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini yang mengaitkan Mohd Khalid dengan sebuah parti politik.
“Kenyataan tersebut adalah tidak benar, mengelirukan dan mencetuskan persepsi yang salah sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM juga menegur keras kecuaian media berkenaan dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan telah mencalarkan reputasi pasukan serta individu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu mendapat pengesahan fakta, proses semakan silang dan memiliki integriti dalam penulisan.
Kamaruzaman turut menegaskan pasukan itu berdiri atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme justeru PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan berkenaan.
“PDRM kekal komited melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan memelihara ketenteraman awam," katanya.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial