PENAMPANG, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata sebanyak RM7.5 juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di Sabah sejak Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) diperkenalkan pada 2023.
Beliau berkata skim itu untuk golongan usahawan mikro khususnya penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar di seluruh Sabah.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dalam memperkasakan ekonomi rakyat melalui sokongan pembiayaan mikro, khususnya kepada komuniti luar bandar dan usahawan kecil yang memerlukan suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong di sini hari ini.
Ewon berkata sejak TEKUN Nasional ditubuhkan pada 1998 hingga April 2025, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.31 bilion kepada 598,969 usahawan.
“Hingga 30 April 2025, sebanyak RM1.18 billion disalurkan kepada 65,939 usahawan TEKUN di seluruh Sabah.
“Bagi kawasan Parlimen Penampang, TEKUN Nasional menyalurkan sebanyak RM36 juta kepada 1,730 usahawan dalam tempoh yang sama,” katanya.
Ewom berkata sebanyak 1,663 pembiayaan berjumlah RM29.9 juta telah diluluskan di seluruh negeri Sabah bagi tempoh yang sama.
“Pembiayaan diberikan TEKUN itu bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan usahawan, malah secara tidak langsung mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial