KUCHING, 22 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa campur tangan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dalam konflik Iran-Israel hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kestabilan serantau serta ekonomi global.
Beliau berkata tindakan AS untuk turut serta dalam konflik itu boleh mencetuskan ketegangan lebih besar dan memberi kesan langsung terhadap laluan perdagangan penting dunia seperti Selat Hormuz.
“Sekarang bila ada campur tangan daripada negara luar termasuk AS akan lebih mengeruhkan. Kalau Selat Hormuz itu ditutup, itu menjadi permasalahan besar pada ekonomi dunia,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Keadilan Sarawak di sini, hari ini.
Anwar berkata Malaysia kekal konsisten menyeru semua pihak memberhentikan segala bentuk keganasan serta menuntut tindakan provokatif dan kekejaman Israel dihentikan segera.
“Kita telah tegas menyatakan untuk perdamaian sebenarnya, Israel harus ditekan supaya tidak bersikap provokatif dan ganas terhadap negara lain.
"Negara-negara berdaulat tidak boleh didiamkan daripada menyuarakan isu hak asasi dan keadilan sejagat. Pendirian kita jangan sampai negara merdeka dan berdaulat tidak ada upaya untuk bercakap tentang hak asasi dan keadilan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial