Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MBPP Bekerjasama Dengan UTM Dalam Pelbagai Bidang Termasuk Masalah Cerun

23/06/2025 03:23 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi melaksanakan kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan, inovasi dan komersialisasi serta latihan, khususnya berkaitan dengan pembangunan dan pengurusan yang komprehensif.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata kerjasama strategik melibatkan kakitangan MBPP, UTM dan pelajar itu dijalankan dalam tempoh masa lima tahun.

"Hari ini MBPP telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UTM dan objektif utama antaranya mempertingkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti perkembangan pendidikan kesedaran awam dan pembangunan modal insan dengan penglibatan yang tersusun dan komprehensif antara kedua-dua pihak.

"Selain itu, ia juga bagi menyelesaikan permasalahan yang berkaitan sains dan teknologi bagi mempertingkatkan lagi kesejahteraan masyarakat setempat dan juga kajian, penyelidikan dan pemantauan dalam menangani masalah kegagalan cerun," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU antara MBPP dengan UTM di sini hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran manakala UTM pula diwakili Naib Canselor Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim di The Top Komtar.

Sementara itu, Rajendran berkata kerjasama terbabit merangkumi bidang antaranya perkongsian kepakaran dalam bidang sains dan teknologi, kajian dan pembangunan (R&D) untuk inovasi serta pembangunan modal insan.

Beliau berkata bagi memastikan objektif MoU itu tercapai dalam tempoh masa yang dirancang, MBPP dan UTM akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Pengurusan bagi menyelaras urusan pelaksanaan MoU yang dipengerusikan secara bersama oleh MBPP.

Beliau berkata kerjasama strategik itu juga akan membolehkan pertukaran dan perkongsian ilmu, idea dan wawasan para ilmuan UTM dan juga pengalaman kepakaran daripada pihak MBPP dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha mewujudkan kolaboratif yang komprehensif dalam memperluas kerjasama teknologi terutama berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi pemantauan cerun, penyelenggaraan cerun dan mitigasi cerun di kawasan tanah berbukit.

"Kita tahu UTM memang mempunyai kepakaran dalam bidang cerun dan MBPP berharap dengan MoU ini, kami dapat belajar mengenainya dalam usaha mengurangkan masalah kegagalan cerun, terutama sekali yang berisiko," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafry berkata pihaknya menyambut baik usaha MBPP yang mengiktiraf kepakaran UTM dalam menjalankan kerjasama berkenaan sebagai usaha menyumbang ke arah negara mampan dan kebajikan serta kegunaan masyarakat.

Katanya, teknologi yang ada di UTM termasuk dalam bidang cerun juga sudah matang untuk diguna pakai dan kepakaran teknologi yang ada boleh digunakan untuk manfaat bersama, dan pada masa sama UTM bersedia memberikan latihan kepada semua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan