KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Regatta Lepa yang memasuki edisi ke-30 pada tahun ini memainkan peranan penting mengetengahkan dan memelihara warisan serta budaya masyarakat Bajau khususnya di Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata sehubungan itu pelbagai acara diadakan bermula esok hingga 29 Jun ini, menampilkan tradisi dan budaya masyarakat Bajau antara lain untuk tontonan generasi muda serta pelancong dari dalam serta luar negara.
Mengetengahkan tema ‘Mairan Addat Bangsa Ta’ yang membawa maksud ‘Pesta Budaya Bangsa Kita’, beliau berkata Regatta Lepa bukan sekadar perayaan, tetapi lambang jati diri, kesenian dan keharmonian budaya masyarakat Sabah.
“Setiap hari (di Regatta Lepa), kita mempunyai program yang berbeza, jadi marilah kita hadir memeriahkan sambutan ini. Kerajaan negara kami mengambil acara ini dengan serius kerana ini adalah budaya yang indah dan mahu ia sentiasa diteruskan.
“Selain kita memelihara budaya, ia juga dapat membantu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong untuk ekonomi penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Regatta Lepa 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew.
Regatta Lepa adalah festival air yang diadakan setiap tahun di Semporna mempamerkan budaya dan tradisi unik masyarakat Bajau berkisar pada ‘lepa’ sebuah perahu layar tiang tunggal tradisional yang digunakan oleh masyarakat Bajau, yang dihiasi dengan indah untuk acara berkenaan.
Liew berkata antara acara yang bakal berlangsung termasuk Bengkel dan Simposium Regatta Lepa di Muzium Tun Sakaran Semporna pada 24 Jun, serta Sangom Maglami-lami, sebuah majlis keraian masyarakat Bajau dan Ratu Lepa 2025 pada 25 Jun.
Selain itu, beliau berkata pameran agensi dan kraf tangan yang melibatkan penyertaan pelbagai jabatan, usahawan tempatan dan penggiat seni akan diadakan dari 27 hingga 29 Jun.
Menurut Liew, IGALTHON yang telah diadakan pada 21 Jun lepas memecahkan rekod Malaysia Book of Records apabila berjaya menghimpunkan 1,000 penari tarian tradisional Igal-Igal yang menari serentak.
“Sambutan kemuncak akan berlangsung pada 29 Jun di Dataran Regatta Lepa Semporna dengan pengisian menarik termasuk Perarakan Lepa Tradisi yang menghimpunkan perahu berhias tradisional,” katanya.
Beliau berkata malam kemuncak yang dinamakan ‘Sangom Mairan’ akan menyaksikan majlis penyampaian hadiah, persembahan kebudayaan dan pertunjukan bunga api.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial