SEREMBAN, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan bekerjasama dalam pembelian rumah mampu milik untuk golongan asnaf yang layak melalui Program Rumah Mawaddah.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata cadangan itu akan diusahakan dalam masa terdekat membabitkan 13 Rumah Mampu Milik Jenis A bernilai RM110,000 seunit.
Beliau berkata cadangan itu lebih berfokus kepada bantuan golongan asnaf dan fakir miskin yang tidak mempunyai tanah.
“Sebelum ini, MAINS membina sebuah rumah tiga bilik dan dua bilik air di atas tanah golongan asnaf yang layak dengan jumlah kos pembinaan RM100,000. Namun, kali ini bagi golongan asnaf yang tidak memiliki tanah, mereka juga layak menerima bantuan perumahan daripada MAINS melalui program ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Seminar Sinergi Zakat dan Pembinaan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sebanyak 12 unit rumah Mawaddah dibina oleh MAINS pada tahun lepas membabitkan kos RM1.2 juta, dan setakat Jun ini empat unit lagi akan dibina dengan kos keseluruhan RM400,000.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri sentiasa mendukung pembangunan yang seimbang antara aspek material dan spiritual.
Beliau berkata menerusi kerangka Malaysia MADANI, pihaknya sentiasa menekankan nilai tanggungjawab sosial, keterangkuman dan kesejahteraan bersama.
“Zakat perniagaan yang ditunaikan oleh kontraktor Muslim bukan sahaja menyumbang kepada kutipan zakat secara keseluruhan, tetapi juga menjadi asas kepada ekosistem pembangunan yang berkat dan mampan. Selain itu, ia juga dapat membantu golongan fakir dan miskin dalam negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata MAINS telah melancarkan sistem permohonan dalam talian bagi Penyata Taksiran Zakat Perniagaan (Penyata EZp) untuk mempercepatkan urusan syarikat dan proses pengesahan selain meningkatkan ketelusan dalam urusan zakat perniagaan.
“Penyata ini akan menjadi dokumen rasmi yang diperlukan bagi tujuan pembayaran zakat perniagaan berdasarkan kaedah kiraan yang lebih tepat.
“Saya yakin, inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran dan pematuhan zakat perniagaan dalam kalangan syarikat Muslim, seterusnya memperkukuhkan ekosistem ekonomi ummah yang berlandaskan prinsip Maqasid Syariah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial