KUALA LUMPUR, 23 Jun 2025 -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) komited memperkukuh peranan dalam membantu usahawan kecil dan sederhana tempatan merebut peluang industri herba yang dianggar mempunyai pasaran global mencecah RM1.6 trilion menjelang 2030.
Menurut FRIM dalam kenyataan, ini termasuk menerusi perkhidmatan sokongan ditawarkan di Pusat Teknologi Herba (HTC) milik institut itu yang ditubuhkan sejak 2005 sebagai fasiliti berstatus Amalan Pengilangan yang Baik (GMP).
Menurut institut itu, HTC mampu menyediakan perkhidmatan pengilangan kontrak kepada usahawan herba serta diiktiraf sebagai makmal BioNexus Partner oleh BioEconomy Corporation dan pemegang Lesen Pengilang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sejak 2011, malahan kini menjadi pusat rujukan utama dalam industri.
“HTC juga telah memperoleh pelbagai pensijilan termasuk GMP untuk Makanan (MS 1480:2020), Titik Kawalan Kritikal Analisis Hazard (HACCP)(MS 1514:2009), TQCSI HACCP Kod:2022 serta pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk pengilangan kontrak farmaseutikal.
“Kekuatan utama HTC termasuklah integriti sebagai agensi kerajaan yang mampu menjaga hak harta intelek pelanggan, fasiliti lengkap, kedudukan strategik serta perkhidmatan nilai tambah dari segi khidmat nasihat teknikal dan penyelidikan serta pembangunan,” menurut FRIM.
FRIM berkata sejak 2016, HTC telah memberikan 2,048 perkhidmatan kepada lebih 500 pelanggan serta menjana pendapatan lebih RM2.56 juta kepada FRIM.
“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 30 produk herba berjaya didaftarkan dengan NPRA manakala lebih 223,000 unit produk berdaftar dikeluarkan untuk pasaran dengan nilai keseluruhan dianggar melebihi RM19 juta, sekali gus membuktikan peranan penting FRIM dalam membantu pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan,” katanya.
Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan dipetik dalam kenyataan itu berkata usaha tersebut akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai usahawan herba dapat menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan kompetitif di pasaran domestik serta antarabangsa.
“Dengan peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan herba dan kesedaran pengguna tentang gaya hidup sihat, FRIM melalui HTC bersedia memainkan peranan strategik dalam membangunkan industri herba negara secara mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
Menurut FRIM, pasaran produk semula jadi di Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM5 bilion pada 2023 dan dijangka terus berkembang.
“Permintaan tinggi produk berasaskan tumbuhan termasuk suplemen kesihatan, makanan berfungsi dan ubatan tradisional mendorong ramai usahawan tempatan menghasilkan produk sendiri. Namun, pelbagai kekangan dari segi pematuhan undang-undang dan kos tinggi pembinaan fasiliti bertaraf GMP menjadi cabaran utama,” menurut FRIM.
FRIM memaklumkan berdasarkan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, semua produk herba di Malaysia yang mempunyai indikasi kesihatan perlu didaftarkan dengan NPRA dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan dan kualiti.
“Produk yang tidak berdaftar boleh membahayakan pengguna, sebagaimana dibuktikan melalui rampasan lebih 70,000 produk tradisional dan kosmetik tidak sah bernilai RM10.1 juta oleh KKM pada November 2024,” menurut institut itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial