Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SMeC 2025 Tumpu Peranan AI Dalam Dunia Media

23/06/2025 10:39 PM

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Persidangan Media Sarawak 2025 (SMeC 2025) bakal berlangsung pada 2 dan 3 Julai ini sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat negeri dengan tumpuan utama terhadap peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam mencorak masa depan media dan kewartawanan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata persidangan itu dijangka menghimpunkan seramai 700 peserta, termasuk pengamal media tempatan dan antarabangsa.

“Tema tahun ini adalah ‘Artificial Intelligence: Shaping the Future of Media and Journalism’, yang sejajar dengan perkembangan pesat teknologi serta kepentingannya dalam landskap kewartawanan masa kini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya antara penceramah yang akan tampil ialah pakar strategi naratif rentas budaya dari Amerika Syarikat, Shelly Bryant; Naib Presiden Kanan Komunikasi Korporat Indosat Ooredoo Hutchison, Steve Saerang dan Ketua Pegawai Eksekutif AI Visionary Society Singapura, Soh Wan Wei.

Turut dijadualkan menyampaikan syarahan ialah Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Penyelidik Kanan Khazanah Research Institute Dr Jun-E Tan serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC) Dr Patrick Then.

Dalam pada itu, Abdullah berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan persidangan tersebut, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan sektor media dan digital di negeri ini.

Majlis makan malam HAWANA pula akan diadakan pada malam sama dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai tetamu kehormat.

.“Antara acara kemuncak malam itu ialah penyampaian Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak kepada 10 pengamal media cemerlang, merangkumi editor, wartawan, DJ radio, pembaca berita, jurugambar serta tokoh industri,” katanya.

Menurutnya setiap penerima akan menerima sijil, plak serta sumbangan kewangan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat tepat dan berimpak kepada masyarakat.

Proses pencalonan dibuat secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi dan persatuan media, manakala pemilihan akhir ditentukan panel profesional berpengalaman dalam dunia kewartawanan.

Abdullah berkata SMeC 2025 dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak dan dianjurkan oleh UKAS bersama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dengan aspirasi menjadikannya acara tahunan bertaraf antarabangsa.

“Kita mahu Sarawak menjadi hab wacana media serantau, memanfaatkan kekuatan negeri ini dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan AI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan