Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Saat Hilang Pendapatan, Bantuan SARA 'Muncul' Ringankan Beban

24/06/2025 12:35 PM

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus menjadi sinar harapan buat golongan sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup, khususnya mereka yang tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap.

Bagi pesara swasta B Letchumanan, 60, biarpun segelintir menganggap sumbangan itu kecil, namun baginya nilai itu amat besar kerana sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan membeli barangan keperluan harian.  

Menurut Letchumanan, isterinya merupakan penerima SARA manakala bapanya berusia 85 tahun baru sahaja disenaraikan sebagai penerima bantuan berkenaan, sekali gus meringankan perbelanjaan isi rumah mereka.

“Hari ini saya datang membeli barangan kebersihan diri untuk ayah memandangkan dia mengalami kesukaran bergerak akibat sakit lutut.

“Ayah sudah berusia 85 dan merupakan seorang pesara guru. Dia tinggal dengan saya sekeluarga jadi, dengan adanya bantuan SARA ini boleh menampung perbelanjaan ayah memandangkan saya juga sudah tidak bekerja,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program SARA Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Letchumanan berkata kaedah penyaluran bantuan terus ke dalam MyKad amat memudahkan penerima kerana boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa melalui urusan teknikal tambahan.

Sementara itu, Nur Aziah Bahari, 65, bersyukur terpilih untuk menerima bantuan berjumlah RM100 dan telah menggunakannya untuk membeli barangan makanan.

Mengakui agak terkesan dengan peningkatan kos sara hidup hingga terpaksa berjimat dalam berbelanja, namun dia berkata bantuan tersebut memberikan kelegaan kepadanya dalam menguruskan perbelanjaan terutama barangan keperluan harian.

“Ini kali kedua wang dikreditkan dalam MyKad saya. Ini amat membantu meringankan beban tambahan saya yang menjaga seorang anak kurang upaya dan suami juga tidak sihat,” katanya.

Yong Kok Choy,75, turut berkongsi rasa terharu atas bantuan itu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat yang terbeban dengan situasi ekonomi semasa.

Yong berkata inisiatif kerajaan itu wajar diteruskan dan diperluas supaya lebih ramai akan mendapat manfaat.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan telah meningkatkan jumlah bantuan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion tahun ini, menjadikan ia peruntukan bantuan tunai tertinggi.

Pulau Pinang merekodkan jumlah penerima SARA sebanyak 293,000 orang daripada keseluruhan 5.4 juta penerima di seluruh negara.

Program SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar di bawah eKasih.

Dari Januari hingga Mac 2025, penerima memperoleh RM100 sebulan yang dikreditkan terus ke akaun MyKad mereka dan bermula 1 April lepas, jumlah ini dinaikkan kepada RM200 yang memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan