Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MPKBM Lanjut Tempoh Peralihan Pendaftaran Pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu Kepada 31 Dis 2026

24/06/2025 01:40 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) melanjutkan tempoh peralihan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu selama 18 bulan kepada 31 Dis 2026 berbanding tarikh akhir asal pada 30 Jun 2025.

MPKBM dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPKBM ke-13 mengambil kira keperluan untuk memastikan pelaksanaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan serta mengambil kira pertimbangan dasar, kepentingan pengamal dan kesejahteraan awam.

“Pelanjutan ini bertujuan memberi ruang masa yang mencukupi kepada semua pengamal, khususnya dari sektor swasta, untuk melengkapkan dokumentasi dan memenuhi syarat-syarat pendaftaran serta permohonan perakuan amalan.

“Langkah ini juga bagi membolehkan penyelarasan data pengamal secara nasional dilaksanakan dengan lebih tepat, seterusnya menyokong sistem pengesahan amalan yang sah dan meningkatkan ketelusan dalam pemantauan perkhidmatan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan usaha memperkukuh sistem kawal selia, MPKBM akan memperkenalkan modul baharu menerusi sistem dalam talian Malaysian Health Practitioners System (MHPS) bagi permohonan dan pengeluaran perakuan amalan mulai Jun ini.

Menurut kenyataan itu setiap pengamal kesihatan bersekutu berdaftar diwajibkan memperoleh perakuan amalan sebelum tamat tempoh peralihan iaitu pada 31 Dis 2026 bagi menjalankan amalan secara sah.

“Sebarang amalan tanpa pendaftaran dan perakuan amalan yang sah selepas tarikh tersebut adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 774.

“Akta ini diwujudkan bagi melindungi masyarakat dengan memastikan amalan hanya dijalankan oleh individu yang berkelayakan, kompeten dan beretika,” menurut kenyataan itu.

Orang awam turut disaran mendapatkan perkhidmatan hanya daripada pengamal berdaftar dengan perakuan amalan yang sah bagi menjamin kualiti dan keselamatan rawatan.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu di https://hq.moh.gov.my/alliedhealth/index.php/ms/ atau dengan menghubungi Sekretariat MPKBM melalui maklumat yang tertera di laman web berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan