Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Beberapa Penerbangan Ke Timur Tengah Batal, Syarikat Diarah Ambil Langkah Mitigasi - Loke

24/06/2025 06:01 PM

SEPANG, 24 Jun (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan beberapa penerbangan Malaysia ke Timur Tengah dibatalkan susulan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar awal pagi tadi.

Beliau berkata Notis kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan susulan kegusaran berhubung keselamatan pesawat yang melalui rantau berkenaan ketika serangan udara dijalankan.

"NOTAM dikeluarkan sebab ada konflik perang...jadi sudah tentu ada risiko kepada penerbangan udara.

"Memang mana-mana syarikat penerbangan pun tidak boleh melalui ruang udara tersebut sebab ia ditutup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berikutan perkembangan itu, Loke berkata semua syarikat penerbangan diarahkan mengambil langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan penerbangan serta kebajikan penumpang tidak terjejas.

"Langkah mitigasi tentunya dibuat oleh syarikat penerbangan antaranya untuk menyediakan tempat penginapan sementara menunggu ruang udara dibuka semula," katanya.

Loke berkata situasi berkenaan turut memberi kesan kepada penerbangan ke Eropah kerana pesawat tidak dibenarkan melalui ruang udara di Timur Tengah.

"Banyak syarikat kini menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh melalui ruang udara utara termasuk Afghanistan... Ini sudah dilaksanakan oleh syarikat penerbangan sejak dua minggu lepas," katanya.

Gelombang penutupan ruang udara ini berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin.

Tindakan itu berikutan serangan AS pada Ahad (22 Jun) ke atas tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan yang menandakan peningkatan mendadak dalam permusuhan.

Keadaan tersebut menyebabkan beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara pada lewat malam Isnin (23 Jun) sebagai langkah berjaga-jaga susulan ketegangan yang memuncak.

Bagaimanapun, beberapa negara Timur Tengah termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung operasi penerbangan. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati perlepasan penerbangan ke Timur Tengah disambung semula.

Tiada jadual penerbangan dibatalkan lagi setakat 4 petang ini namun berlaku kelewatan melibatkan pesawat Qatar Airways QR845 ke Doha yang dijadualkan pada 8.20 malam.

Awal pagi tadi, dua penerbangan Malaysia Airlines ke Doha iaitu MH164 dan MH160R dibatalkan, dipercayai akibat penutupan ruang udara di destinasi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan