Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melaka Rangka Pelan Jangka Pendek, Panjang Atasi Banjir Di DUN Bemban

24/06/2025 06:26 PM

JASIN, 24 Jun (Bernama) -- Masalah banjir yang sering melanda di beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dijangka diatasi menjelang tahun depan menerusi pelaksanaan pelan penyelesaian secara jangka pendek dan panjang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata antara kawasan kerap dilanda bencana itu yang dikenal pasti ialah di Kampung Asam Kumbang, Lubuk Kasau, dan Tehel.

"Ini termasuk pelbagai langkah segera telah diambil seperti kerja-kerja mendalamkan sungai dan membuat ban oleh pihak pemaju perumahan  di Sungai Asam Kumbang bagi memastikan aliran air lebih lancar.

"Kerajaan negeri menerusi jabatan berkaitan juga akan membuat tindakan susulan seperti memasang sangkar batu di kawasan itu sekali gus mengurangkan risiko limpahan air semasa hujan lebat serta mengelakkan hakisan tebing sungai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Prihatin di Hatiku sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban dan turut dihadiri Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop.

Rais berkata projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Duyong yang turut melibatkan kawasan Tehel dalam DUN berkenaan juga sedang giat dilaksanakan dan dijangka menunjukkan perkembangan positif tahun depan.

“Apabila projek RTB ini siap, kita jangka akan nampak perubahan besar dalam kawalan aliran air dan mengatasi masalah banjir.

“Kerajaan negeri komited untuk menangani isu banjir ini bukan sahaja di DUN Bemban malah di seluruh Melaka yang terdedah kepada risiko banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu pembaharuan lesen perniagaan rokok elektronik atau vape di negeri itu akan diselaraskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka dalam masa terdekat.

Beliau berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan mengenai premis penjualan vape yang tidak diperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

“Di Melaka, bidang kuasa lesen ini tertakluk di bawah PBT. Sebelum ini, ramai peniaga mungkin menggunakan lesen berkaitan barangan elektronik dan sebagainya untuk menjual vape. 

"Maka, kita akan selaraskan perkara ini mengikut garis panduan daripada kerajaan Persekutuan kerana ia bukan sahaja melibatkan Kementerian Kesihatan tetapi beberapa kementerian lain juga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan