KANGAR, 24 Jun (Bernama) -- Anak kepada peniaga ikan dan pengawal keselamatan Nur Erma Natasya Azami meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Calon STPM 2024 aliran Sains Sosial dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi di sini itu berkata susah payah ibunya Nor Hayati Ishak, 52, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bapanya Azami Teh, 59, berniaga ikan menjadi penyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan.
Nur Erma Natasya yang mengambil subjek Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah dan Pengajian Perniagaan dalam STPM itu berkata dia pernah memperoleh PNGK 3.50 pada semester pertama bagi peperiksaan itu, namun gigih mengulang kaji pelajaran sehingga memperoleh keputusan cemerlang.
“Saya banyak membuat latih tubi dengan cuba menjawab soalan tahun-tahun sebelumnya dan guru dalam kelas banyak membantu selain saya turut membantu kawan-kawan dalam mengulang kaji mata pelajaran. Secara tak langsung saya pun lebih faham,” katanya selepas pengumuman STPM di SMK Syed Alwi di sini hari ini.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata ibunya sering menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik pada masa depan kerana latar belakang mereka daripada keluarga biasa.
“Mak selalu pesan, ‘kami tak ada harta, cuma ilmu untuk bagi’. Saya tak dapat nak menahan sebak apabila dimaklumkan guru saya mendapat keputusan PNGK 4.00 hari ini,” katanya, yang turut memaklumkan bercita-cita menjadi seorang guru.
Nur Erma Natasya berkata abangnya seorang lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini menjadi seorang guru manakala kakaknya seorang jururawat sering memberikan motivasi supaya dia gigih belajar dan meraih keputusan cemerlang dalam STPM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial