Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

52 Pekerja Di Labuan diperiksa Dalam Op Buruh

24/06/2025 08:54 PM

LABUAN, 24 Jun (Bernama) -- Sebanyak 52 pekerja terdiri daripada 51 rakyat tempatan dan seorang warga asing diperiksa dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan di beberapa premis syarikat perkhidmatan dan pembersihan di sini hari ini.

Operasi yang diketuai oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang buruh dan menangkis dakwaan pihak luar berkaitan amalan buruh paksa di negara ini.

Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi berkata operasi itu melibatkan 40 pegawai penguat kuasa daripada pelbagai agensi. 

“Operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara JTKSM dan beberapa agensi lain, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), serta Institut Latihan Perindustrian (ILP).

“Pekerja asing yang diperiksa membabitkan seorang warga Indonesia,” katanya kepada Bernama selepas operasi di Lapangan Terbang Labuan hari ini.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum dan Akta Kerja 1955, termasuk pembayaran gaji di bawah kadar minimum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43 Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2024.

Kesalahan lain yang turut dikesan, termasuk gagal mencarum kepada Perkeso, tidak mematuhi syarat caruman KWSP, dan kesalahan  imigresen di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 melibatkan penyalahgunaan Pas Lawatan Kerja Sementara.

“JTKSM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan undang-undang dipatuhi, dan melindungi kebajikan pekerja.

“Penguatkuasaan berterusan itu, langkah proaktif utama oleh Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh dan memperkukuh keharmonian industri buruh serta memerangi amalan buruh paksa menjelang 2030,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan