KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penubuhan Majlis Penasihat yang terdiri daripada pelbagai pakar adalah antara keputusan penting dicapai dalam mesyuarat Majlis Benih Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.
Beliau berkata antara keputusan penting lain ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diberi mandat sebagai peneraju Hab Benih Negara, usaha membangunkan keturunan tulen ayam pedaging dan penelur tempatan serta pengkomersialan baka Ayam Saga.
“Malaysia masih bergantung hampir sepenuhnya kepada benih import, termasuk 90 peratus benih sayur dan benih tembikai bernilai RM2.7 juta. Ini satu cabaran besar yang mesti kita tangani bersama demi masa depan keterjaminan makanan negara.
“Agenda keterjaminan benih ini bukan sahaja penting untuk industri agromakanan, malah menjadi teras kepada kedaulatan dan keselamatan negara. Kita perlu hasilkan benih tempatan yang berkualiti, tahan lasak dan mampu memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mohamad Sabu berkata pelaksanaan Agenda Keterjaminan Benih Negara boleh membantu Malaysia mencapai kemandirian dalam sektor benih tempatan.
“Ini bukan soal pertanian semata-mata, ini soal kedaulatan dan masa depan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial