MUAR, 24 Jun (Bernama) -- Program Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dilaksanakan di Kampung Parit Keroma di sini, mengembalikan budaya bergotong-royong dalam kalangan penduduk sekali gus memupuk semangat kerjasama serta perpaduan.
Ketua Pengarahnya Mohd Hatta Zakaria berkata antara aktiviti yang menjadi fokus KAM adalah mencantikkan, mengindahkan serta memelihara pada kemudahan sedia ada seperti di masjid, sekolah, dan balai raya.
Beliau berkata usaha berkenaan juga termasuk membaik pulih beberapa kerosakan pada kemudahan yang ada dengan mengutamakan kaedah tradisi, iaitu bergotong-royong oleh penduduk di tujuh kampung di kawasan sekitar.
“Bagi kerja-kerja kecil seperti mencantikkan dan mengindahkan kawasan sekitar termasuk landskap, komuniti penduduk di sini melaksanakannya secara bersama, manakala bagi kerja-kerja yang besar pihak pengurusan kampung yang diketuai oleh ketua kampung akan melantik kontraktor.
“KAM di sini yang bermula pada Jun ini hingga Oktober depan akan merangkumi kerja-kerja naik taraf Masjid Jamek Al-Husna, Balai Raya Parit Keroma, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Keroma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran KAM dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) di sini hari ini.
Mohd Hatta berterima kasih kepada komuniti di Kampung Parit, Kampung Keroma, Kampung Parit Besar, Kampung Parit Buah Keras, Kampung Parit Sakai, Kampung Parit Perupuk, Kampung Haji Baki dan Jalan Khalidi kerana komitmen mereka untuk menjayakan KAM JKKP.
“Saya berharap selain kejayaan KAM yang dirancang untuk melengkapkan kemudahan asas dengan kerja baik pulih dan naik taraf, semangat bergotong-royong sesama mereka juga akan dapat diteruskan pada masa mendatang,” katanya.
KAM dan SAM turut membabitkan usaha menambah baik infra di Sekolah Pendidikan Khas Muar, peruntukan untuk kedua-duanya menelan kos kira-kira RM1.1 juta, dengan keseluruhan 22 projek telah dirancang.
“Kita menyambut baik usaha kerajaan yang melancarkan KAM dan SAM, ia sebagai penanda aras terbaik dalam memastikan capaian kemudahan asas dapat ditingkatkan melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.
“Sebenarnya usaha untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar dengan memberikan keselesaan kepada mereka (penduduk luar bandar) telah dilakukan sebelum ini menerusi Program Santuni MADANI dan kini diteruskan lagi dengan KAM serta SAM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial