Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, Republik Kyrgyz Jalin Kerjasama Dalam Perbankan Islam Dan Sektor Halal – PM Anwar

25/06/2025 02:20 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Republik Kyrgyz bersetuju untuk bekerjasama membangunkan sistem perbankan Islam serta memperkukuh perdagangan produk halal, dengan Malaysia menawarkan kepakarannya dalam kedua-dua sektor bagi membantu pembangunan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan di republik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pertemuannya dengan Presiden Sadyr Zhaparov, kedua-dua pemimpin membincangkan penubuhan bank Islam bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih baik.

"Sudah tentu kami membincangkan isu perbankan Islam, halal, pembinaan, penyusunan kewangan dan pelaksanaan program termasuk penubuhan bank Islam.

"Akan ada pertemuan susulan melibatkan menteri-menteri kita. Anda (Zhaparov) membawa barisan menteri penting ke Malaysia dan rakan-rakan menteri saya pasti akan memberi maklum balas, bukan sahaja untuk memperkukuh persefahaman dan persahabatan, tetapi juga memastikan program dan projek dua hala dalam aspek perdagangan dan pelaburan dapat diteruskan," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Zhaparov di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia dan Republik Kyrgyz turut bersetuju untuk meneroka pelan tindakan kerjasama halal yang dicadangkan oleh Zhaparov.

“Semua ini akan terus diterokai… dan tentunya anda (Republik Kyrgyz) mempunyai kapasiti besar dalam tenaga hidro, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui, yang pastinya menarik minat Malaysia untuk fahami, kaji dan manfaatkan,” katanya.

Republik Kyrgyz mempunyai potensi besar dalam tenaga hidro yang merupakan sumber utama penjanaan elektrik negara itu, merangkumi hampir 90 peratus daripada jumlah pengeluarannya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Republik Kyrgyz bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, dengan menekankan kepentingannya dalam mempererat hubungan antara rakyat serta memperluas potensi sosial dan ekonomi kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia akan menyalurkan bantuan teknikal dan pendidikan kepada rakyat Kyrgyz menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Institusi kami, tentunya bersedia untuk membantu anda mengenal pasti individu yang akan dilatih, dan kami juga amat menghargai sekiranya dapat mengadakan program pertukaran bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan