KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Penyiaran berita yang sahih dan beretika kekal menjadi teras utama media arus perdana dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat palsu dan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah Berita Hal Ehwal Semasa RTM Md Shahri Saripan berkata setiap laporan yang disiarkan perlu melalui proses tapisan dan semakan ketat bagi memastikan ketepatan dan keseimbangan maklumat.
“RTM sejak penubuhannya berpegang kepada prinsip ketepatan dan kesahihan. Dalam ledakan maklumat serta pengaruh media sosial, RTM perlu kekal sebagai rujukan utama rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (Nadi Seri Pagi) bertajuk ‘Integriti dan Profesionalisme: Tonggak Kematangan Penyiaran Berita’ yang disiarkan oleh RTM di sini hari ini.
Ketua Bernama TV Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nor Hamzeela Md Hambali pula menegaskan semua laporan agensi berita itu melalui semakan ketat selain menggunakan sumber sah dan berautoriti.
“Kami tidak akan mengeluarkan berita tanpa memastikan sumbernya. Integriti, keseimbangan dan ketelusan amat dipentingkan, dan ini menjadi tunjang kepercayaan terhadap Bernama,” jelas beliau.
Mengulas peranan AI, Nor Hamzeela berkata meskipun teknologi itu meningkatkan kecekapan, semakan manusia tetap penting bagi menjamin kesahihan fakta.
Sementara itu, Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail menekankan kepercayaan adalah ‘jantung’ sesebuah organisasi berita khususnya dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat pada masa kini.
Beliau turut melihat hubungan wartawan profesional dan wartawan warga sebagai saling melengkapi dalam mempercepatkan penyebaran maklumat yang sahih melalui pendekatan menyeluruh masyarakat.
“Sebagai contoh apabila sesuatu kejadian berlaku di kawasan mereka (wartawan warga) sendiri dan mereka ingin berkongsi cerita dan video… ia juga membantu kita mempercepatkan proses penyampaian maklumat terutama bagi sebaran luas kepada masyarakat.
“Saya lihat ia sebagai simbiosis yang kuat iaitu membantu meletakkan kita ke hadapan dari segi kepantasan selain kesahihan,” katanya, sambil menambah penyampaian berita berdasarkan fakta dengan pendekatan masyarakat menyeluruh dapat memperkukuh kredibiliti laporan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial